Pembeli tidak perlu bimbang Covid-19 tersebar dengan sentuh buah, sayur, kata peniaga


Angie Tan

Menurut peniaga sudah menjadi budaya penduduk tempatan melihat dan memilih bahan makanan mereka sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2021.

PENJUAL buah-buahan dan sayur-sayuran menolak kebimbangan virus Covid-19 boleh menjangkiti pengguna dengan menyentuh barangan jualan mereka ketika membeli.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight pembeli yang membeli buah dan sayur yang belum dipek atau yang belum dikupas dari pasar tidak perlu bimbang selagi mereka menjaga kebersihan diri.

Baru-baru ini timbul kebimbangan virus berkenaan boleh merebak dengan menyentuh barangan ketika membeli-belah. Beberapa pakar turut dilaporkan berkata terdapat kemungkinan virus berkenaan boleh merebak dengan cara itu.

Bagaimanapun Presiden Persatuan Pemborong Buah Kuala Lumpur Chin Nyuk Moy menolak kebimbangan itu dan berkata pasar dan penjual sudah mengambil langkah yang perlu bagi mengelak jangkitan virus berkenaan.

Beliau juga berkata pengguna sendiri perlu melindungi diri agar tidak menyebarkan virus berkenaan ketika membeli-belah.

“Saya tidak rasa pelanggan boleh menyebarkan virus dengan memilih buah-buahan dan sayur-sayuran dengan tangan mereka, jika tidak saya akan halang pelanggan berbuat demikian.

“Sekiranya ada tisu antibakteria, cuci tangan serta merta selepas menyentuh apa sahaja atau gunakan sarung tangan,” katanya.

Tambahnya beliau melakukan semburan disinfeksi ke atas semua pelanggan dengan menggunakan semburan disinfeksi.

Pada masa yang sama, beliau memastikan pelanggan memeriksa suhu badan dan memastikan mereka sudah lengkap vaksinasi.

Mengenai cadangan menjual buah-buahan dalam bungkusan, Chin menjawab sudah menjadi budaya penduduk tempatan untuk melihat dan memilih bahan makanan mereka sendiri.

“Kaedah ini (pembungkusan) bukan sahaja tidak membantu mengurangkan risiko, tetapi juga memerlukan penjual mengeluarkan belanja tambahan untuk membeli barang keperluan dan mengupah orang lain untuk membungkusnya,” katanya.

Merujuk senario di pasar raya, beliau berkata pelanggan masih memilih dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang sudah dibungkus.

Sementara itu Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt menjelaskan usaha untuk membungkus sayuran adalah tidak mustahil, namun terpulang kepada kumpulan sasar pelanggan.

“Pelanggan dari kumpulan umur lebih tua suka memilih apabila membeli barangan, namun golongan muda hanya ambil dan bayar kerana kerana mereka mungkin tidak tahu bagaimana memilih sayuran,” katanya.

Tambahnya virus dan bakteria ada di mana-mana jadi perkara utama adalah mencuci tangan dengan kerap.

Wong berkata, peniaga di pasar borong KL melakukan disinfeksi kecil-kecilan di gerai mereka setiap hari dan melakukan pembasmian kuman berskala besar seminggu sekali.

“Semua orang memakai dua lapisan pelitup muka dan segera meninggalkan kawasan pasar,” katanya.

Dr Moy Foong Ming dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) berkata penyebaran virus menerusi sentuhan lebih rendah berbanding penularan udara.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan risiko tersebut dan menasihati orang ramai untuk mencuci tangan sebelum menyentuh wajah mereka.

Menurutnya idea memakai sarung tangan juga boleh menyebabkan orang ramai cenderung menyentuh lebih banyak barang. Jadi pencegahan yang terbaik adalah membersihkan diri.

Moy turut menggalakkan peniaga untuk menyediakan pembersih tangan bebas alkohol di gerai untuk digunakan pelanggan bagi mengurangkan risiko Covid-19.

Pasar Borong Kuala Lumpur mencatatkan empat wabak dalam dua tahun, namun ia kekal bebas Covid-19 sejak beberapa bulan lalu.

Vaksinasi semua peniaga pasar berkenaan bermula pada Jun lalu. – 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen