PAS perlu raih sokongan bukan Melayu jika mahu tawan Putrajaya, kata Fadhli


Bekas ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata ia terkilan masih belum berjaya menembusi pengundi bukan Islam semasa memegang jawatan. – Gambar fail the Malaysian Insight, 20 Oktober, 2023.

BEKAS ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata parti perlu menawan undi bukan Islam dan bukan Melayu jika ia mahu menawan kuasa persekutuan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata ini adalah kekesalan terbesarnya kerana Pemuda PAS masih belum berjaya menembusi kalangan bukan Melayu dan bukan Islam.

“Saya tidak sedih meninggalkan jawatan ini kerana saya yakin pemimpin akan datang selepas saya akan lebih baik daripada saya. Cuma satu kekesalan saya ialah Pemuda PAS masih belum berjaya menerobos pengundi kalangan bukan Islam dan bukan Melayu.

“Kita perlu tawan undi dan sokongan mereka sebelum pilihan raya umum akan datang. Orang bukan Islam dan bukan Melayu mempunyai persepsi yang baik terhadap kita dalam PAS. Persepsi inilah yang perlu kita tunjukkan sebagai ahli PAS jika ingin mendapatkan undi mereka. Saya harap cabaran ini - untuk menawan sokongan bukan Islam dan bukan Melayu - akan disahut oleh kepimpinan baharu dan mereka mampu berjaya,” kata Fadhli dipetik portal berita The Star dalam laporannya hari ini.

Fadhli menyerahkan tampuk kepimpinan sayap Pemuda kepada ketua yang akan datang dan bekas timbalannya Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Sayap Pemuda parti Islam itu mengadakan perhimpunan agung tahunannya pada 18 dan 19 Oktober manakala parti Islam itu akan mengadakan muktamar mulai hari ini hingga Ahad di Pusat Konvensyen IDCC di Shah Alam. – 20 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen