KOMITMEN kerajaan untuk menggubal undang-undang mengenai sumbangan politik adalah tepat pada masanya memandangkan penggunaan wang yang tidak terkawal dalam politik, kata Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik.
“Pada masa ini, kita sedang mengkaji undang-undang yang telah dilaksanakan di negara lain serta cadangan lain yang telah dikemukakan oleh pakar lain.
“Kajian meluas mengenai topik ini telah dilakukan sejak 2009 oleh pakar yang juga ahli KRPPM ini. Justeru, kami terbuka untuk melibatkan diri dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan Rang Undang-undang (RUU) ini dapat digubal dan dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.
“Pembentangan RUU ini tidak seharusnya dilengahkan lagi dan mesti disegerakan untuk kematangan demokrasi kita,” kata pengerusi Ahmad Fadhli Shaari.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata RUU Sumbangan Politik adalah langkah positif ke arah melindungi demokrasi daripada pengaruh luar.
KRPPM merupakan platform rentas parti untuk perbincangan berhubung pemantauan pendanaan politik antara pihak berkepentingan yang berbeza seperti ahli Parlimen, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan cadangan penggubalan RUU Sumbangan Politik dan skop dasar itu akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.
Beliau berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah yang dipengerusikannya.
Menurutnya rang undang-undang itu penting kerana sehinga kini masih tiada undang-undang atau peraturan dalam negara yang mengawal selia pembiayaan politik. – 20 Mei, 2022.
Komen