Bukan perkara baru logo, tema Hari Kebangsaan negeri berbeza, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

Penganalisis politik berkata tiada udang-undang yang mewajibkan tema dan slogan Hari Kebangsaan negeri mesti sama dengan persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos 2023.

HASRAT Perikatan Nasional (PN) mahu menggunakan tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan yang berbeza di negeri-negeri yang ditadbirnya dengan yang dipakai oleh kerajaan persekutuan bukan perkara baharu dan biasa dilakukan sebelum ini, kata penganalisis politik.

Mereka merujuk keputusan kerajaan negeri bawah Pakatan Rakyat pada 2012 menggunakan tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan sendiri, yang tidak sama dengan yang dipakai di peringkat persekutuan.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia Ahmad Atory Hussain berpendapat tiada salahnya jika PN mahu mengangkat tema sambutan yang berbeza daripada kerajaan pusat kerana ia tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.

“Tema dan slogan hari kemerdekaan memang tak ada dalam undang- undang negara atau negeri yang mewajibkan mesti sama (antara persekutuan dan negeri).

“Tidak jadi satu kesalahan sebenarnya, melainkan kalau PN nak guna bendera berbeza tak nak pakai Jalur Gemilang atau tak nak lagu kebangsaan Negaraku dimainkan.

“Itu baru kita kata salah sebab perkara itu termaktub dalam undang-undang, tapi bukan slogan dan tema hari kemerdekaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jumaat lalu, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari berkata empat negeri bawah gabungan itu – Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu – mungkin menggunakan tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan yang lain.

Beliau memperkenalkan logo berkenaan yang berteraskan bunga raya dengan lima kelopak dan empat warna Jalur Gemilang, sementara temanya “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.

Tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan yang dicadangkan oleh PN, Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera, berteraskan bunga raya dengan lima kelopak dan empat warna Jalur Gemilang. – 21 Ogos 2023.

Kelmarin, Ahmad Fadhli menjelaskan logo dan tema berlainan itu hanya cadangan dan terserah kepada empat negeri PN sama ada mahu menggunakannya atau tidak.

Cadangannya itu bagaimanapun dikritik keras oleh pemimpin kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan Ahmad Fadhli sebagai “gila” kerana mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan.

Tema sambutan 31 Ogos bagi peringkat kebangsaan ialah “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” yang mengguna pakai logo Malaysia Madani.

Dalam pada itu, Ahmad Atory berpendapat isu ini perkara kecil dan tidak harus dipolemikkan.

“Banyak lagi isu besar yang perlu kerajaan pusat beri tumpuan.

“Keadaan negara sekarang jadi kelam-kabut yang terkait dengan isu kestabilan kerajaan perpaduan ini, jadi jangan rumitkan keadaan dengan isu tidak sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berpendapat cadangan PN itu tidak menghairankan kerana tema yang diangkat oleh kerajaan persekutuan adalah Malaysia Madani.

“Kita tahu konsep Madani ini adalah konsep kerajaan perpaduan berkait dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Jadi tak menghairankan, apatah lagi selepas pilihan raya negeri, PN agak kuat di negeri yang mereka tadbir,” katanya.

Pada pilihan raya negeri 12 Ogos lepas, PN mengukuhkan kedudukannya di Kelantan, Terengganu, dan Kedah. PN juga mentadbir Perlis selepas merampas negeri itu daripada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.

Azmi juga berpendapat tema yang dicadangkan oleh Pemuda PN lebih neutral dan tidak terikat dengan ideologi politik.

Tema sambutan 31 Ogos bagi peringkat kebangsaan ialah 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' yang mengguna pakai logo Malaysia Madani. – 21 Ogos 2023.

Semangat federalisme

Dalam pada itu, pensyarah politik di Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata atas semangat federalisme, PN sepatutnya ikut sahaja tema Hari Kebangsaan yang dipakai oleh kerajaan pusat.

“Bagi saya patut ikut sahaja. Kenapa perlu ada perbezaan, sebab kita meraikan sambutan kemerdekaan Tanah Melayu jadi kena standard antara pusat dan negeri,” katanya.

Pada 2012, gabungan pembangkang Pakatan Rakyat yang dibentuk oleh PKR, DAP, dan PAS menolak tema dan logo “Janji Ditepati” yang dipakai oleh kerajaan pusat bawah BN.

Anwar yang ketika itu pengerusi Pakatan Rakyat menyifatkan tema dan logo yang berbeza tidak memecah-belahkan rakyat dan negara. 

Susulan itu, Kelantan menggunakan tema “Menerajui Perubahan” sementara Kedah memakai “Terus Berbakti” manakala Pulau Pinang dan Selangor memakai tema “Sebangsa, Senegara, Sejiwa”.

Pada 2022, Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan juga tidak memakai tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan peringkat persekutuan.

Tema Selangor ketika itu ‘Kita Selangor Teguh Bersama’ sementara kerajaan pusat bawah bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mengangkat tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’. – 21 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen