Perlu peraturan baharu untuk kekang ahli Parlimen ponteng, kata penganalisis politik


Alfian Z.M. Tahir

Peraturan Mesyuarat 13 Parlimen menyatakan mesti ada sekurang-kurangnya 26 ahli Parlimen dalam Dewan untuk prosiding diadakan. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2023.

PENGANALISIS politik berkata Parlimen perlu mempunyai peraturan baharu untuk memastikan ahli Parlimen menghadiri persidangan.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berkata Parlimen perlu lebih tegas. Beliau mencadangkan ia menetapkan penanda aras untuk dipenuhi oleh ahli Parlimen, dengan kemungkinan mereka kehilangan kerusi jika gagal memenuhinya.

Ahli akademik itu berkata ahli Parlimen tidak seharusnya memberikan alasan lemah untuk tidak menghadiri persidangan kerana tarikh sudah ditetapkan lebih awal.

“Seseorang yang tidak menghadiri persidangan selama enam bulan boleh kehilangan kerusinya, tetapi untuk mengekang ketidakhadiran, mereka perlu menetapkan sasaran. Sebagai contoh, hanya mereka yang mencapai 80% daripada kadar kehadiran layak menerima pencen,” kata Mazlan.

“Dan mereka yang gagal mencapai kadar kehadiran 80% bagi tiga sesi berturut-turut boleh kehilangan jawatan sebagai ahli Parlimen.

“Ini semua terletak pada mereka; Jika mereka ada integriti, mereka akan muncul, kerana mereka diundi oleh rakyat,” katanya lagi.

Pada Ogos, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata beliau akan mempertimbangkan pemotongan elaun untuk mengelak ahli Parlimen tidak hadir, sambil menambah terdapat gesaan agar Peraturan Mesyuarat dipinda bagi memudahkan perkara ini.

“Jika anda tidak datang selama X jam sehari, anda tidak akan dapat elaun untuk hari itu. Saya fikir itu adalah idea yang baik. Mereka mesti memperuntukkan masa tertentu di dalam Dewan sebelum layak mendapat elaun harian yang dibayar,” kata Johari.

Elaun harian lebih kurang RM500. Speaker berkata terdapat trend ahli Parlimen datang selama lima minit sahaja, kemudian keluar dan tidak kembali.

Dalam mesyuarat pertama Parlimen ke-15, hanya 97 ahli Parlimen mencatatkan kehadiran sempurna.

Peraturan Mesyuarat 13 Parlimen menyatakan mesti ada sekurang-kurangnya 26 ahli Parlimen dalam Dewan untuk prosiding diadakan.

Menurut laman web rasmi Parlimen, terdapat 89 persidangan antara 26 Julai 2021 hingga 7 Oktober 2022.

Berdasarkan analisis rekod kehadiran ahli Parlimen pada tahun lalu, kumpulan masyarakat sivil MyMP berkata hanya 15 ahli Parlimen menghadiri semua sesi, sebilangan kecil daripada 222 wakil rakyat di Parlimen.

Pengarah Program Iman Research Badrul Hisham Ismail tidak bersetuju dengan tindakan menghukum ahli Parlimen.

Beliau berkata orang ramai harus lebih mengetahui mengenai tugas seorang ahli Parlimen.

“Kita perlu tahu mengapa mereka tidak menghadiri sidang; adakah mereka hanya memilih untuk tidak datang atau terperangkap dengan urusan lain. Inilah budaya politik kita.

“Selalunya, kita lihat ahli Parlimen dijemput untuk merasmikan acara yang mungkin dilakukan oleh ahli majlis tempatan; selalunya kita lihat ahli Parlimen dipanggil untuk memberikan bantuan atau kebajikan sedangkan boleh dilakukan oleh ahli majlis tempatan atau wakil rakyat.

“Orang ramai perlu tahu yang tugas ahli Parlimen ialah membahaskan dasar di Parlimen, sebab itu mereka dipanggil penggubal undang-undang,” kata Badrul.

Sementara itu, Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia Oh Ei Sun berkata terdapat sekurang-kurangnya dua faktor yang menggalakkan penggubal undang-undang menghadiri persidangan Parlimen.

“Salah satunya ialah permintaan dan perhatian daripada pengundi dan pendedahan data kehadiran mereka.

“Faktor lain ialah reformasi prosiding Parlimen untuk menuntut penyertaan ahli Parlimen, disertai pemerkasaan Parlimen, supaya ahli Parlimen merasakan kehadiran mereka tidak membuang masa,” katanya.

Oh menambah beberapa ahli Parlimen kanan tidak mengambil berat tentang pemotongan elaun mereka.

“Mereka sudah lama; memotong elaun mereka tidak akan membuat mereka berubah fikiran,” katanya.

Awal bulan ini, Johari dilaporkan berkata beliau serius mempertimbangkan untuk menyiarkan data kehadiran ahli Parlimen di laman web Parlimen.

Beliau berkata perlu mengkaji semua aspek perundangan serta Peraturan Mesyuarat sebelum boleh membuat sebarang perubahan. – 20 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen