3000 Nights: Malam yang tidak pernah siap


Hadri Shah

BENDA pertama yang saya buat usai menonton 3000 Nights ialah meng’google’ siapa pelakon utama filem ini?

Namanya Maisa Abd El Hadi. Kami sebaya. Dia berdarah Palestin. Lahir di Nazareth. Selain 3000 Nights, Maisa pernah membintangi beberapa filem lain seperti The Angel dan The Report Between Sarah & Saleem.

Info lain seperti Islamkah dia, kalau Islam kenapa tak pakai tudung, status perkahwinan, pandangan politik dan sebagainya – saya rasa, eloklah anda cari sendiri.

Maisa El Hadi, wanita berambut hitam berombak ini, watak utama filem yang ditayangkan pada 12 September 2015 bersamaan hari ulang tahun kelahiran saya.

Maisa melakonkan watak seorang perempuan muda bernama Layal. Layal seorang guru sekolah yang didapati bersalah kerana menyembunyikan seorang anak remaja lelaki Palestin yang dituduh melakukan serangan maut di pos pemeriksaan tentera Israel.

Layal menafikan yang anak remaja tersebut mengancamnya walaupun suaminya merayu supaya dia menipu keterangan di mahkamah Israel.

Keputusan hakim? Layal dipenjara selama 8 tahun!

Berada di penjara politik adalah pengalaman paling celaka yang tiada siapa teringin menciumnya.

Kita rakyat Malaysia tahap boikot McD dan berhimpun teriak-teriak ‘Hancur Israel’ selepas solat Jumaat di Menara Tabung Haji tak akan pernah merasa pengalaman sebegitu rupa. Akui sajalah hero kita itu cuma habuan ‘upload’ gambar sendiri bermafla Palestin bersiap sedia syahid di Instagram.

Dalam filem yang skripnya ditulis Mai Masri, Layal tidak dipotretkan sebagai perempuan perkasa seperti gambaran perempuan Palestin baling tayar berapi macam yang selalu kita tengok di media sosial.

Layal seorang guru sekolah. Baru mendirikan rumah tangga. Punya impian seperti kebanyakan; hidup bahagia bersama keluarga tercinta.

Tetapi malam dia ditangkap pihak berkuasa Israel mengubah langit dan atmosfera kehidupan Layal. Dipenjara selama 8 tahun di penjara politik bukanlah babak hidup yang pernah dicita-citakannya. Ketakutan, rasa cemas dan perasaan tidak keruan memeluk erat tubuhnya.

Bertambah pilu, Layal mendapat tahu dirinya hamil ketika di penjara. Mahkamah menolak rayuannya memendekkan tempoh penjara. Suaminya pula melarikan diri ke Kanada. Layal diminta menggugurkan kandungannya.

Penjara menjadikannya Layal kuat. Dia menolak menggugur kandungan. Meneruskan hidup bersama kandungan dan kawan-kawan tahanan politik.

Di penjara, ada dua puak. Satu puak berketurunan Arab-Palestin. Puak inilah yang merancang pelbagai pemberontakan mendesak beberapa tuntutan penjara Israel yang berat sebelah, bias dan jahat. Satu lagi puak kriminal berbangsa Yahudi Israel. Digambarkan sebagai kelompok rasis yang dilindungi pihak pengurusan penjara.

Layal tumbuh dalam suasana penjara yang berkonflik. Keyakinan, keberanian dan kekentalannya dibajak setiap hari sehinggalah dia melahirkan Nour, anak lelakinya di balik tirai besi. Nour membesar dalam suasana yang mencabar. Tiada padang permainan, tiada ‘sesame street’, tiada tablet Apple, tiada apa, tiada!

Ada dua benda yang mengusik pemikiran saya saat melayari karya Mai Masri ini.

Satu: Dari mana datangnya keberanian elegan seperti yang ditonjolkan Layal?

Suasana persekitaran. 

Ya. Persekitaran mempengaruhi peribadi, tingkah laku dan jati diri. Macam saya cakap di awal perenggan, Layal bukan wanita perkasa pada awalnya.

Keberaniannya (meski ketakutannya menerima hukuman menebal) tidak bermula di penjara. Sebaliknya bermula saat pengakuannya di mahkamah. Layal boleh saja menafikan kebenaran. Dia berpeluang melepaskan diri mereka apa saja cerita demi membebaskan dirinya. Dosa Layal ialah dia bercakap benar. Dan itu salah di sisi hukum.

Kehamilan memekarkan keberanian Layal. Dia tidak lagi mengatur dirinya untuk kekal survive didalam sel, bahkan melakukannya kerana Nour, bayi yang dikandungnya.

Beberapa tahun selepas Nour dilahirkan, Layal mengambil bahagian dalam pemberontakan. Disertai oleh semua ahli penjara berketurunan Arab-Palestin, akhirnya gesaan penghuni penjara dituruti pihak penjara Israel. Beberapa kawannya dibebaskan meski Layal terpaksa menghabiskan tempohnya sebelum dia dapat hidup semula bersama Nour yang sebelum itu dikeluarkan dari penjara.

Kedua: Ada seorang kawan Layal, yang saya lupa namanya, tidak bersetuju dengan pemberontakan.

Seperti Layal, dia seorang ibu kepada anak kecil yang sedang menunggunya di luar penjara.

Watak ini dianggap hipokrit, pengecut dan tali barut kerana membocorkan pelan pemberontakan kepada pihak penjara.

Tetapi apabila direnung semula, aku dapati ada bahagian yang memaksa watak ini membocorkan rahsia.

Ketika dia datang kepada Layal untuk mengucapkan selamat tinggal (kerana bakal dibebaskan) dia menjustifikasikan tindakannya, ada kewajaran disebaliknya.

Kita sering melihat keberanian adalah sesuatu yang heroik; mempertahankan sesuatu walau berhadapan musibah kematian yang bakal meninggalkan keluarga, anak kecil dan kawan.

Tetapi kawan Layal itu sanggup dianggap tali barut semata mata untuk dibebaskan awal demi melihat semula kebahagiaan terpancar dari mata anaknya yang bersinar. Dia mahu mendakap anaknya, mahu menidurkannya dengan kisah-kisah fairy tale, mahu lekas memikul semula tugas seorang ibu.

Si pembelot ini tidak dihambur duit, kemewahan atas kerjasama sialnya oleh syaitan. Dia cuma dibebaskan awal.

Apakah ini suatu dosa yang tidak terampunkan?

Anak adalah kekuatan. Kadang kala ia juga kelemahan. Kompleks dan nyaris sulit untuk diterangkan.

Namun kenyataannya, cinta selalunya menyuntik keperkasaan.

Seperti Layal yang meneruskan kandungannya, membesarkan Nour beberapa tahun di penjara. Juga seperti kawan Layal si pembelot, walau terpaksa selingkuh demi si kecil yang sedang menanti kasih seorang ibu.

Filem ini diakhiri dengan pembebasan Layal setelah 8 tahun dipenjara. Anaknya, Nour menyambut Layal di luar penjara.

Kebahagiaan bercantum semula. Malam celaka sudah tamat.

Namun penindasan, kebrutalan aturan hidup manusia, peperangan dan penjajahan di atas tanah rebutan terus kekal. – 19 Oktober, 2023.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen