Frankfurt membakar Gaza


Faisal Tehrani

KENYATAAN berdarah Pengarah Pesta Buku Frankfurt, Juergen Boos untuk berdiri teguh di sisi Israel – “stands with complete solidarity on the side of Israel” – sangatlah melukakan.

Sambil mengelakkan sama sekali konteks krisis di Palestina yang melibatkan Hamas di Gaza, Boos nampaknya memilih satu naratif sahaja, iaitu Israel yang terbakar.

Boos sama sekali tidak mempedulikan Gaza yang dibakar Israel.

Apa yang lebih menggasak ialah pesta ini membatalkan satu majlis untuk meraikan pengarang Palestina, Adania Shibli, yang sepatutnya diberi Hadiah LiBeraturpreis untuk terjemahan bahasa Jerman novelnya, ‘Minor Detail’. 

Novel ini mengenai seorang gadis Palestina yang dirogol dan kemudian dibunuh di padang pasir Negev ketika perang Arab-Israel 1948. Ia pernah disenarai pendek untuk National Book Award 2020 senarai panjang International Booker Prize dalam tahun 2021.

Pesta Buku Frankfurt adalah pesta tahunan, yang mana bandar raya itu menjadi hos menerima penerbit dan ejen buku dari seluruh dunia untuk saling menjual dan membeli hak cipta penerjemahan dan penerbitan. 

Justeru, ia memang menjadi tumpuan mana-mana pengarang yang ingin jadi terkenal di peringkat sejagat.

Ekoran daripada kenyataan Juergen Boos yang berat sebelah tersebut, banyak penerbit memilih untuk memboikot pesta buku yang berprestij itu. Ini termasuklah penerbit dari negara Arab, serta Ikatan Penerbit Indonesia dan syukur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023 bagi membantah sokongan penganjur terhadap Israel.

Soalan yang ditimbulkan ramai ialah tidak adakah suara waras daripada sasterawan besar dunia membantah apa yang berlaku di Palestina, khusus Gaza?

Tidak juga. Malah seingat saya, peraih Hadiah Nobel untuk kesusasteraan pada tahun 2005 dan French Légion d’honneur tahun 2007 seperti Harold Pinter, Jose Saramago yang juga pemenang Hadiah Nobel untuk kesusasteraan pada tahun 1998, dan Toni Morrison yang diiktiraf Nobel pada tahun 1993 semuanya, ketika masih hidup amat tegas membela dan mempertahankan Palestina. 

Pinter yang terkenal menerusi drama-drama pentas absurd adalah seorang Yahudi kelahiran Hackney. Beliau adalah antara pengasas Jews for Justice for Palestinians dan kerap menyeru agar memulaukan produk Israel selain penentang tersohor penjenayah perang George Bush dan Tony Blair.

Pada tahun 2006, Pinter menggerakkan nama-nama besar dalam kesusasteraan dunia antara lain Tariq Ali, Russell Banks, John Berger, Noam Chomsky, Richard Falk, Eduardo Galeano, Charles Glass, Naomi Klein, W.J.T. Mitchell, Arundhati Roy, Giiuliana Sgrena, termasuklah Jose Saramago dan Toni Morrison untuk mengecam serangan Israel ke atas Gaza.

Pinter menggelarkanIsrael sebagai faktor tunggal dan punca kepada kekacauan di dunia ini: “the central factor in world unrest.” 

Pada tahun itu juga, Harold Pinter melobi lebih 300 anggota masyarakat Yahudi di Britain untuk menulis dan menerbitkan di halaman tengah Times of London mengecam serangan ganas Israel di Gaza ketika itu. Badan bukan kerajaan yang ditunjangi Pinter iaitu Jews for Justice in Palestine, membeli iklan berbunyi “Call by Jews in Britain” dengan menyoalkan, apa yang Israel sedang lakukan?, “What is Israel doing?”

Iklan yang sangat berimpak itu menyebutkan, ‘…kami menyaksikan dengan penuh kegerunan hukuman kolektif yang dikenakan ke atas penduduk Gaza’. Sambil menyatakan perhatian berat untuk korporal Gilad Shalit yang diculik oleh Hamas sebagai tukaran pembebasan banduan Palestina di penjara-penjara Israel, serangan zionis untuk meratakan Gaza adalah satu teror.

Iklan tersebut juga mengecam keras pemusnahan infrakstruktur Gaza yang mana stesen kuasa dimusnahkan, bekalan elektrik diputuskan, selain bekalan air minum dipotong.

Bukan itu sahaja, Israel menjejaskan dengan sengaja nasib para pesakit di hospital-hospital di Gaza, dengan niat untuk menjadikan seantero Gaza kebuluran; “…destruction of the fragile Gaza infrastructure will not release Shalit. Bombing power stations and cutting off fuel supplies deprives people of electricity, refrigeration, pumped drinking water and sewage disposal services. It holds hostage hospital patients on life support systems, or undergoing dialysis. It brings the threat of epidemics and starvation.”

Memang sebahagian besar pengarang yang disebut di atas sudah meninggal dunia, akan tetapi kita mesti mengambil kira Annie Ernaux penerima Hadiah Nobel untuk kesusasteraan tahun lalu adalah penyokong kuat kempen Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) sebuah gerakan untuk memulaukan Israel.

Annie Ernaux, pada tahun 2021 telah menulis bantahan terhadap serangan zionis ke atas Baitul Maqdis menyusul pengeboman 11 hari di Gaza yang mengorbankan sekecil-kecilnya 254 rakyat Palestina, termasuk 66 orang kanak-kanak, 39 wanita dan 17 orang berusia.

Ernaux menamakan surat itu “Letter against apartheid: in support of the Palestinian struggle for decolonisation”.

Ernaux salah seorang penandatangan warkah rasmi BDS itu menegaskan adalah salah untuk mengganggap Israel setara dengan Palestina, “wrong and misleading” kerana katanya, Israel adalah penakluk manakala Palestina terjajah, sambil memanggil keadaan ini apartheid, “Israel is the colonising power. Palestine is colonised. This is not a conflict, but rather apartheid.”

Ernaux pernah menjadi pengarang yang diraikan di Pesta Buku Frankfurt.

Mengambil kira suara bantahan dari dunia kesusasteraan yang pernah demikian kuat, justeru pilihan Juergen Boos yang bias mengkesampingkan Israel yang buas amat dikesali. Boos dan persekongkolannya mesti dihukum.

Pengarang sastera adalah suara nurani kemanusiaan dan tidak terfikirkan jika ada sasterawan yang memilih untuk mempertahankan kegilaan Israel di Palestina, menjarah rumah dan kediaman penduduk di Tebing Barat dan membakar Gaza di tengah dunia hanya mampu berpeluk tubuh menyaksikan.

Belum ada pengarang atau buku Malaysia yang berhasil dari Pesta Buku Frankfurt. Malah Malaysia pernah mempersiakan tawaran menjadi tetamu yang difokus satu masa dahulu.

Memang ada banyak senarai buku yang terpilih untuk dibawa ke Frankfurt untuk dijual, tetapi mengambil kira pengalaman lalu memang karya kita belum cukup terpandang.

Mengambil kira ketidakberhasilan tersebut, memang melongokan jika masih ada penerbit buku di negara ini masih terhegeh untuk terlibat di Frankfurt. Pengarang kita yang karyanya diwar-warkan untuk peragaan di Jerman juga harus mengambil sikap waras seperti Harold Pinter, Jose Saramago, dan Toni Morrison.

Suatu hari nanti akan ada pengarang kita menerima Hadiah Nobel, tetapi sebaiknya jangan melalui jalan berdarah.

Tidak ada gunanya menulis mengenai cinta, keamanan dan juga kemanusiaan tetapi ikut terselit di celah pesta yang menghalalkan darah Gaza.

Saya menyeru teman pengarang, bahawa paling kecil yang boleh kita lakukan ialah untuk tidak ikut sama membakar Gaza.

Kata Saidina Ali, kawan kepada musuh kita adalah musuh kita. Ya, melainkan kalian tidak menganggap Israel itu musuh.– 17 Oktober, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen