PUSAT Kewartawanan Bebas (CIJ) menyelar tindakan polis menahan editor buku kontroversi “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” di bawah Akta Hasutan selepas tiga tahun buku itu diharamkan kerana didakwa menghina Jata Negara.
Pengarah eksekutif CIJ Wathshlah G Naidu menyifatkan penahanan editor berkenaan, Kean Wong sebagai gambaran jelas bahawa kerajaan menyekat kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Buku itu diharamkan pada 1 Julai, 2020 mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020 kerana dipercayai boleh memudaratkan ketenteraman awam.
Naidu dalam satu kenyataan berkata kes ini satu lagi contoh bagaimana kerajaan sewenang-wenangnya menyalahguna undang-undang yang mengawal kebebasan bersuara di negara ini.
Beliau seterusnya meggesa pihak berkuasa membebaskan Wong dengan serta-merta, selain mendesak Akta Hasutan dimansuhkan.
Pada Jun 2020, Kementerian Dalam Negeri mengarahkan polis menyiasat individu terlibat dengan penerbitan buku dengan kulitnya mirip imej Jata Negara yang diubahsuai, yang didakwa menghina lambang rasmi kedaulatan negara.
Muka depan buku “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” memaparkan lukisan mirip jata negara iaitu seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.
Hamzah Zainudin ketika itu menteri dalam negeri buku itu melanggar Akta Lambang dan Nama (1963). – 16 Oktober, 2023.
Komen