Kuat kuasa, pantau jadi tumpuan Putrajaya tangani ketirisan subsidi


Alfian Z.M. Tahir

Pemangku menteri Armizan Mohd Ali berkata kementerian akan memastikan peruntukan RM10 juta yang disalurkan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk memerangi amalan kartel dan catutan harga dilaksanakan dengan lebih berkesan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup komited untuk melaksanakan agenda subsidi bersasar dalam usaha mengurangkan ketirisan menerusi penguatkuasaan dan pemantauan.

Pemangku menteri Armizan Mohd Ali berkata kementerian akan memastikan peruntukan RM10 juta yang disalurkan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk memerangi amalan kartel dan catutan harga dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kementerian juga akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kebajikan pengguna dilindungi dan pada masa sama merangsang sektor runcit dan perdagangan dalam negeri,” katanya.

Selain itu dalam usaha merangsang Program Payung Rahmah, Armizan berkata kementerian bersetuju untuk menyalurkan peruntukan berjumlah RM200 juta bagi melaksanakan program Jualan Rahmah dan Pasar Rahmah.

Katanya ini membolehkan kumpulan sasar berpendapatan rendah dan sederhana mempunyai akses kepada barangan keperluan pada harga lebih murah.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengalu-alukan Belanjawan 2024 yang dibentangkan dengan fokus kepada pemerkasaan rakyat,” kata Armizan lagi.

Pada Belanjawan 2023, kementerian memperkenalkan program Payung Rahmah pada awal tahun ini bagi mengurangkan kos sara hidup kumpulan B40 dan miskin tegar.

Selain makanan dan barangan runcit, kumpulan ini juga dapat memperolehi pakaian dan cermin mata pada harga yang berpatutan.

Tambah Armizan lagi, Kerajaan juga akan memperhebat Kempen Beli Barangan Malaysia bagi meningkatkan daya saing produk tempatan dalam pasaran dengan peruntukan sebanyak RM12 juta.

“Program Pemerkasaan Francis untuk meningkatkan eksport yang menerima peruntukan RM10 juta akan menjadi platfrom kepada pengendali francis tempatan bagi meluaskan perniagaan mereka ke luar negara,” katanya.

Armizan, ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah itu turut memberi penekanan kepada usaha menjaga kebajikan penduduk pedalaman yang akan terus diutamakan bagi memastikan ketersediaan bekalan barangan keperluan yang disalurkan menerusi program pengedaran barangan keperluan asas, LPG dan Community Drumming.

Katanya, RM225 juta diperuntukkan untuk membiayai program sedia ada termasuk meluaskannya ke kawasan baru termasuk zon Abai, Sandakan di Sabah dan Engkerabai di Mukah, Sarawak. – 14 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen