Konflik Israel-Palestin: Melihat propaganda bekerja


Faisal Tehrani

Pelakon Meerqeen dikesam kerana bergambar dengan aktres kelahjiran Israel Gal Gadot pada sebuah majlis Civicas Network X di New York, Mei lalu. – Gambar Instagram, 10 Oktober, 2023.

MEI lalu, pelakon Meerqeen dikecam netizen kerana bergambar dengan aktres kelahiran Israel, Gal Gadot di sebuah acara majlis rumah terbuka Civicas Network x di New York, Amerika Syarikat. 

Meerqeen atau nama penuhnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam bertegas yang dia hanya bergambar bersama bintang filem Wonder Woman itu atas dasar portfolio mereka berdua sebagai pelakon.

Kata Meerqeen, seperti dilaporkan oleh banyak media, tindakannya bergambar dengan Gal Gadot itu biasa sahaja kerana “…bukan sebab dia rakyat Israel tetapi kerana kami sama-sama bekerja sebagai pelakon, walaupun bergambar bersama, tidak bermakna saya menyokong apa yang dilakukannya (pro-Israel). 

“Saya suka dia sebagai seorang pelakon. Jadi mengapa perlu lepaskan peluang sebegitu. Sekiranya mereka yang mengecam saya pun, jika bertemu dengan Gal Gadot pasti akan bergambar bersama juga. Jadi apa bezanya? Saya rasa okey sahaja perkongsian itu.” 

Apakah Meerqeen menyesal bergambar dengan Gal Gadot hari ini? Saya tidak tahu. Mesti ada wartawan hiburan yang berani menanyakan bekas finalis Hero Remaja 2020 tersebut. 

Apa pun, sekiranya media Israel mengetahui penting dan masyhurnya Meerqeen, foto beliau dan Gal Gadot akan ditabur di media sosial. Ia akan dilakukan sebagai propaganda. 

Dalam perang, propaganda akan menjadi sangat penting. Malah memenangi perang propaganda lebih penting dari memenangi perang itu sendiri. Ini kerana ia akan memberikan satu-satu pihak itu legitimasi dan justifikasi. Dan mengambil kira kebencian rakyat Malaysia secara umumnya terhadap Israel, karier Meerqeen boleh sahaja musnah.

Ketika Perang Dunia Kedua, rantau kita tidak terkecuali berdepan dengan propaganda yang ganas. Pada 1944, pihak Jepun tidak ramai ejen di lapangan. Maka propaganda mesti digiatkan. 

Caranya ialah dengan mengutarakan bahan menerusi siaran radio gelombang jauh yang dipancarkan dari kapal perang berdekatan perairan dan disambut oleh stesen ejen di daratan. Atau dengan menabur material propaganda dari pesawat di udara untuk tatapan penghuni di bumi.

Hari ini siaran radio dan material dari udara tidak lagi diperlukan, kerana dunia tanpa sempadan membolehkan kita menonton satu-satu serangan kombat atau udara secara langsung. Juga ini menjadikan ejen di lapangan tidak lagi penting. Sesiapa sahaja boleh menjadi ejen propaganda jika mereka tidak berwaspada. 

Suka tidak suka, propaganda akan tetap berlangsung. Kali ini, di dunia atas talian, propaganda berlangsung di media sosial. 

Terdapat dua jenis propaganda. Pertama, putih iaitu fakta atau kenyataan yang sebenar. Manakala kedua ialah hitam iaitu penipuan dan pembohongan. 

Ketika Perang Dunia Kedua, propaganda akan dilokalkan dengan cara siaran radio yang diiringi muzik latar Melayu atau Indonesia. Ada pesan-pesan dari tetuang bunyi yang membujuk rayu. Kadang-kala pujukan itu tidak memerlukan suara. Yang digugurkan dari udara memadai hanya sekeping poster dengan simbolik interaksi yang mendalam. 

Terdapat naratif yang akan dicipta dan dikitar atau diputar semula tanpa selidik. Selalunya yang membolehkan naratif propaganda ini berjalan dan berkembang ialah para seniman. Ketika Perang Dunia Kedua, karikatur misalnya memihak akan berleluasa. 

Dalam keadaan konflik di Timur Tengah, atau setepatnya di Gaza kembali memanas; propaganda atau perang propaganda dilihat kembali semarak. Contoh mudah untuk ini ialah apabila wartawan dan jurugambar The New York Times, Samar Abu Elouf menggambari sekeluarga Palestin di Gaza sedang kelam kabut mencari perlindungan di sebuah penempatan sekolah milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Akan tetapi foto yang penting itu nampaknya ditular menjadi kilasan apabila Jamie Lee Curtis, pemenang Oscars dalam filem yang sama dengan Michelle Yeoh, telah mengambilnya dan memaparkannya sebagai ‘teror dari langit’ dengan lambang bendera Israel. 

Makanya foto yang menggambarkan derita rakyat Palestin kini menjadi cerita baharu, iaitu nestapa dan sengsara rakyat Israel. 

Status asal Abu Elouf hanyalah sekitar ratus-ratus likes, akan tetapi di Instagram milik Curtis ia mendapat ribuan likes dengan selebriti seperti Lindsay Lohan turut menyukainya. Demikianlah propaganda berjalan dan bergerak. Mangsa kini telah beralih.

Dalam perang, kita akan memilih untuk berpihak. Untuk mengenal siapa mangsa tidaklah sesusah mana. Dalam konflik di Timur Tengah sekarang kita akan melihat bagaimana ribuan rakyat Israel yang kebanyakannya memiliki dwi kerakyatan sedang berpusu-pusu di Lapangan Terbang Ben Gurion untuk meninggalkan ‘tanah watan mereka’ iaitu Israel. Mereka akan ke mana? Sedang rakyat Palestin, khusus Gaza tidak ada tempat untuk melarikan diri dan terpaksa menadah pengeboman dari langit oleh tentera Israel.

Dalam perang kita akan sentiasa berpihak, kerana ada tuntutan untuk kita melakukan demikian. Makanya akan ada keperluan untuk menentukan apa yang putih dan apa yang hitam dalam urusan propaganda ini. 

Kemampuan kognitif sangat diperlukan dalam menentukan apa yang hitam dan putih. Untuk mengenal seseorang itu menggunakan fakulti akal bernasnya atau tidak, cukup atau memadai dengan melihat bagaimana ia menyahut propaganda perang itu.

Ketika perang, kemampuan intelektual kita akan ditelanjangkan bila kita memilih untuk memihak kepada kem propaganda yang mana. Dalam keadaan sebegini, kehati-hatian sangat dituntut. Siapa sahaja bisa menjadi ejen.

Untuk menjayakan sesuatu propaganda, pihak yang berperang memerlukan ejen. Hari ini terdapat dua jenis ejen iaitu dengan sengaja, atau dengan tidak sengaja. 

Saya rasa Meerqeen atau nama penuhnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, berusia 22 tahun tidak tahu kesannya bergambar dan mengepos foto itu di media sosial. Meerqeen masih budak. Akan tetapi propaganda sama sekali tidak budak. Ia malah tua dan memperbudak.

Apakah Meerqeen menyesal bergambar dengan Gal Gadot hari ini? Saya tidak tahu. Mesti ada wartawan politik antarabangsa yang selamba menyoal bekas finalis Hero Remaja 2020 tersebut. 

Mungkin jawapan beliau masih ya, saya okay. Barangkali juga dia sudah menyesal mengikut keadaan. – 10 Oktober, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen