PENGGUNA di kawasan Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur dinasihatkan bersiap sedia mengadapi gangguan bekalan air susulan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat mulai Selasa minggu depan.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam notis di laman webnya memaklumkan pelaksanaan kerja-kerja ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di kawasan terbabit bermula jam 9 pagi (Selasa) dan dijangka pulih sepenuhnya pada 12 Oktober (Khamis).
“Kerja-kerja ini dijangka akan siap pada jam 7 malam, 10 Oktober 2023 (Selasa).
“Bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat setelah kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan siap, dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.
“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 12:00 tengah hari, 12 Oktober 2023,” kata Air Selangor.
Notis itu juga menyebut tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor berkata lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.”
Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual di sini. – 7 Oktober, 2023.
Komen