99 kawasan di wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Isnin depan, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini.
Menurut Air Selangor, ia susulan pelaksanaan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.
Bekalan air ke kawasan-kawasan ini akan dihentikan pada pukul 9 pagi pada 22 Mei (Isnin) dengan bekalan penuh hanya disambung semula pada malam Rabu.
“Bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila kerja pembaikan telah siap dan sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.
“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9:00 malam, 24 Mei 2023 (Rabu),” katanya dalam satu kenyataan. – 17 Mei, 2023.
Air Selangor berkata, kerja-kerja pembaikan kecemasan ini melibatkan paip saluran utama berukuran 2,200mm diameter dan melibatkan kawasan agihan berskala besar. Oleh yang demikian, tempoh pembaikan dan pemulihan mengambil masa yang agak lama.
Senarai kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual disenaraikan di sini.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. – 17 Mei, 2023.
Komen