Bekalan air 7 wilayah terjejas pulih 75%, kata Air Selangor


Tempoh pemulihan bekalan air di kawasan terjejas bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna, kata Air Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2023.

BEKALAN air ke tujuh kawasan terjejas susulan henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) disebabkan insiden pencemaran bau di muka sauk LRA Rantau Panjang, pulih 75% setakat jam 6 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas iaitu di Petaling adalah 62%, Gombak (99%), Hulu Selangor (100%), Klang (42%), Shah Alam (30%), Kuala Langat (0%) dan Kuala Selangor (99%).

“Tempoh pemulihan bekalan air di kawasan terjejas itu bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air di kawasan terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya jam 6 pagi, Selasa (14 Februari) ini. Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan terjejas dengan melayari laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ selain menerusi aplikasi Air Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata, Air Selangor ingin menasihatkan pengguna yang sudah dan akan mendapat bekalan air supaya membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan ke Help Centre di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.

Insiden pencemaran bau di muka sauk LRA Rantau Panjang menyebabkan LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 dihenti tugas sejak malam tadi.

Bagaimanapun, semua LRA itu kembali beroperasi sepenuhnya pagi ini. – Bernama, 12 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen