KIRA-KIRA 83 kawasan di Gombak dan Kuala Lumpur menghadapi gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di Taman Perindustrian Bukit Indah di Sungai Buloh, menurut Air Selangor.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat konsesi air itu berkata kerja pembaikan bermula pada jam 9 pagi dan dijangka tamat pada jam 10 malam.
“Bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat selepas kerja pembaikan selesai.
“Pemulihan bekalan akan berbeza-beza bagi semua kawasan terjejas kerana ia bergantung kepada tekanan air sistem pengagihan dan jarak ke premis,” katanya.
Air Selangor berkata ia sedang menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas, dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik dan pusat dialisis.
Ia berkata 12 daripada kawasan yang terjejas adalah lokaliti di ibu negara, termasuk Bukit Bandaraya, Bukit Bangsar, Brickfields, Jalan Khoo Teik Eee dan Serene Villa Kiara. – 1 Januari, 2023.
Komen