LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih mula beroperasi semula selepas dihenti tugas semalam ekoran pencemaran bau yang dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Air Selangor dalam satu kenyataan terkini di Twitter jam 10 pagi tadi berkata bacaan LRA Semenyih merekodkan bacaan pencemaran bau tahap 0 ton sebanyak tiga kali berturut-turut, sekali gus membolehkan loji itu beroperasi semula.
Pengoperasian semula LRA Semenyih melibatkan proses pembersihan dan rawatan air yang dijangka mengambil masa kurang 12 jam, katanya.
“Sejurus itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada para pengguna di kawasan-kawasan terlibat,” kenyataan itu dipetik.
Pencemaran bau di di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir menyebabkan LRA Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas semalam. LRA Sungai Semenyih dihenti tugas pada jam 2 pagi, manakala LRA Bukit Tampoi pula jam 6 pagi semalam penemuan pencemaran bau di dalam aliran Sungai Semenyih.
Dalam kenyataan sebelum ini pagi tadi, Air Selangor memaklumkan bacaan ton telah berkurang kepada 0 ton untuk LRA Sg Semenyih, dan 2 ton untuk LRA Bukit Tampoi setakat jam 8 pagi tadi.
Loji-loji ini hanya boleh mula beroperasi semula setelah bacaan 0 ton direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut, katanya.
Henti tugas di dua LRA itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual sewal 7 pagi semalam melibatkan 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).
Air Selangor semalam memaklumkan sebanyak 85 lori tangki air digerakkan ke kawasan terlibat bagi memberi bantuan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.
Bantuan bekalan air itu disalurkan dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian, sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian dalam kenyataan semalam berkata kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan pati minyak wangi di Kilometer (KM) 44.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Elite) arah utara berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan, menjadi punca LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi ditutup pagi semalam.
Beliau berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati jarak lokasi kemalangan dengan LRA Semenyih adalah sekitar 6.4km dan ke LRA Bukit Tampoi sekitar 18km. – 25 Disember, 2022.
Komen