Oligarki dan cukong


Hishamuddin Rais

Apakah mungkin Anwar Ibrahim dapat bebaskan Malaysia dari rasuah serta budaya cukong dan oligarki? – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2023.

MINGGU lalu saya telah menulis tentang oligarki. Asal perkataan oligarki ini daripada bahasa Greek – Yunani. Untuk lebih jelas pemahaman perkataan oligarki mari kita tanya apa kata Lebai Google.

Mengikut Lebai Google, oligarki merupakan suatu pemerintahan yang dijalankan oleh sekumpulan kecil yang berkuasa. Ia berkait rapat dengan nepotisme dan kronisme.

Ini konsep asal oligarki dari Lebai Google. Kini oligarki telah berubah makna. Oligarki bukan lagi konsep tapi sosok. Oligarki ini bermakna sosok – individu – yang kaya-raya.

Kekayaan ini datang melalui kuasa. Kuasa ini datang dari kekayaan. Kekayaan dan kuasa kait berkait ikat berikat. Tanpa kekayaan tak wujud kuasa. Tanpa kuasa tidak wujud kekayaan.

Dalam dunia kita hari ini kuasa yang membawa kekayaan ialah kuasa politik. Kekayaan ialah kekayaan ekonomi.

Dalam sistem ekonomi kapitalis politik ialah mengurus dan mentadbir kuasa untuk mencari kekayaan dan sara hidup.

Kaya ekonomi bermakna banyak harta, luas ladang dan tanah, tersergam gedung, bertimbun-timbun wang ringgit dan bergantang-gantang emas intan berlian.

Justeru – mana yang dulu? Kaya dulu atau berkuasa dulu?

Ketua cabang PKR, ketua Umno bahagian atau ketua Lajnah Ekonomi Parti Islam – bukan sosok kaya. Mereka tidak kaya tapi ingin berkuasa.

Mereka amat arif dan sedar bahawa melalui kuasa politik mereka boleh mendapat kekayaan ekonomi.

Kekayaan ini juga akan dibalut dengan kemegahan nilai harga diri. Kaya akan melimpahkan  penghormatan orang ramai. Saham derajat diri akan melonjak naik. Jadi kaya ini diselubungi oleh glamor.

Dalam dunia dari zaman berzaman hingga ke era Internet hari ini kaya dianggap berjaya. Sosok-sosok kaya disanjung dan dirayakan oleh warga media sosial. Justeru tidak mustahil ramai nak jadi kaya. Jalan pintas dan cepat kaya dalam negara dunia ketiga seperti di Malaysia ialah melalui kerusi YB di Parlimen atau jadi Adun.

Awal wahid sosok-sosok ini mungkin aktif, mungkin bijak, mungkin pandai bercakap dan memiliki watak memimpin dalam parti. Mungkin mereka memulakan perjalanan untuk berkuasa dengan menjadi ahli majlis yang dilantik oleh parti atau menjawat ketua cawangan atau bahagian.

Atau bijak menjadi tukang kipas pemimpin yang berkuasa. Atau menjadi Mat Setia yang bebal dan sentiasa bersedia mengangguk untuk apa saja. Akhirnya dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen atau kerusi DUN.

Awas! Ada lagi satu genre walaupun tidak aktif, mungkin kurang cerdik tetapi masih mahu mendapat kuasa. Sosok-sosok ini dari genre baka.

Mukhriz anak Mahathir. Najib anak Razak. Nurul Izzah anak Anwar. Hishammuddin anak Hussein Onn.

Bagaimana dengan Khairy?

Dalam kes Khairy Jamaluddin agak berbeza. Khairy bukan dari baka tapi mencelup ke dalam lubang baka dengan berkahwin dengan anak Abdullah Badawi. Tapi masih dianggap genre baka.

Sosok-sosok bergenre baka ini akan menjual nama baka mereka. Mereka ini macam benih Musang King, lebih mahal dari benih durian kampung. Baka ini menjadi cap mohor produk yang boleh diiklankan untuk dijual. Bebal atau manai tidak menjadi persoalan.

Waspada! Untuk bersama dalam elektoral politik atau politik undi memerlukan dana. Tidak kira tak ada bakat atau ada baka.

Politik undi mengundi bukan murah. Malah bertanding sebagai ketua bahagian memerlukan ribuan ringgit. Ini belum lagi bertanding sebagai calon Parlimen atau calon Adun.

Satu Malaysia pernah mendengar kes klasik – “Six Million Dolllar Man” – dari Pasir Salak. Maklumat ini dibocorkan oleh Dr Mahathir Mohamad apabila ada bakal calon yang membelanjakan RM6 juta hanya untuk merebut kerusi ketua bahagian dalam parti Umno.

Dana diperlukan untuk jamuan, untuk cetakan banting dan poster, untuk berpropaganda dan untuk duit minyak ke hulu ke hilir. ringgit dan sen wajib ada.

Awalnya para proto YB mungkin pakai duit sendiri, bantuan kawan-kawan atau sokongan sanak saudara. Periuk kecil keraknya kecil. Periuk besar keraknya besar. Lagi tinggi jawatan yang direbut lagi besar modal yang di perlukan.

Dari mana dana nak dicekau? Di sini muncul cukong. Siapa cukong?

Perkataan cukong menjadi pop di Tanah Melayu ketika krisis ekonomi tahun 1998. Perkataan cukong menyeberang dari Jakarta ketika Jeneral Tuan Haji Muhamad Suharto dibantai oleh anak muda yang berdemonstrasi.

Mengikut takrifan Lebai Google, cukong merujuk kepada pengusaha-pengusaha pemilik perusahaan besar. Perusahaan besar-besar di Indonesia. Kata ini sendiri berasal dari bahasa Hokkien.

Cukong ini tidak ada bezanya dari oligarki. Cukong di Indonesia dan di Malaysia terdiri dari Cina. Kalau yang bukan Cina mereka ditakrif oligarki.

Selama 30 tahun di belakang kuasa politik Jeneral Suharto ialah para cukong. Cukong yang membuat harta kekayaan di seluruh Indonesia. Pada krisis ekonomi 1998 cukong dibantai oleh anak-anak muda peribumi.

Tahun 1998 lahir kesedaran peribumi Indonesia. Bagaimana dengan Malaysia?

Apa yang berlaku di Indonesia pada 1998 telah berlaku 20 tahun lebih awal di Malaysia. 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur sama juga seperti 21 Mei 1998 di Jakarta.

Cara cukong atau oligarki menyerap masuk ke dalam badan politik negara – sama ada di Jakarta atau di Kuala Lumpur adalah sama.

Para cukong akan memerhati sosok manakah yang berkemungkinan menang dalam pilihan raya. Para cukong akan meneliti parti manakah yang berpotensi untuk menang dan mendapat kuasa.

Para cukong akan melabur dana. Dengan senyap-senyap sebakul demi sebakul duit akan dihantar. Duit masuk dalam pelbagai cara. Tapi lebih selamat yang sampai duit tunai tidak melalui bank. Ini untuk mengelak dari menjadi bahan bukti jika dituduh menerima rasuah.

Paling cerdik sang politikus moden di Malaysia semunya mendirikan yayasan. Cita dan niat yayasan ini untuk membuat amal bakti kepada rakyat jelata. Dana dari cukong masuk ke dalam yayasan untuk tujuan membuat kerja amal jariah.

Dana ke yayasan bukan dana rasuah. Jika tidak percaya sila tanya peguam atau lebih afdal sila tanya peguam negara.

Justeru Ahamad Zahid Hamidi dengan Yayasan Akalbudi terbukti tidak bersalah. Nama Akalbudi ini dibaca oleh peguam negara sesuci embun pagi. Justeru Zahid dibebaskan dari 47 tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Cukong dan oligarki ini tumbuh dari busut mana ?

Asal usul cukong ini agak menarik. Ada yang bermula bekerja sebagai penjual insurans. Ada yang bermula dengan menjual kereta, ada yang bermula menjual besi buruk.  

Jangan hairan dan terperanjat jika penjual insurans akhirnya menjadi pemilik syarikat judi. Menjadi pemilik hotel dan kasino. Menjadi pemilik gedung membeli belah. Atau menjadi pemilik kilang besi.

Vincent Tan, Tan Pek King. Eric Chia dan Lim Goh Tong adalah contoh-contoh cukong di Malaysia. Mereka hari ini menjalankan perniagaan yang halal.

Tapi bagaimana mereka menjadi kaya raya untuk menjadi cukong. Mereka maju jaya melalui orang politik.

Sosok-sosok dikatakan rapat dengan Mahathir. Ketika Mahathir menjadi perdana menteri sosok-sosok ini mendapat projek mega. Manakala Lim Goh Tong dikatakan rapat dengan Tun Razak hingga berjaya membuka kilang cetak duit bernama Genting Casino.

Dari ini fakta ini terbukti Lebai Google betul dengan takrifan cukong juga adalah juga kroni.

Surah dan riwayat Dr Mahathir dengan cukong ini telah banyak diperkatakan. Malah kisah Mahathir dengan para cukong telah dijadikan peluru dalam ceramah menghasut di zaman Reformasi.

Lalu timbul persoalan. Zaman Dr Mahathir sudah tamat. Apa jadi dengan para cukong yang bertelur, menetas dan membesar di zaman Mahathir.

Apakah riwayat para cukong ini juga tamat sama seperti tamatnya kuasa politik Mahathir? Jeng jeng jeng.

Bagaimana pula dengan PMX Anwar Ibrahim. Apakah di belakang Anwar ada cukong atau ada oligarki. Apakah ada cukong yang memasang pasak dan memperkukuhkan politik PMX.

Apakah mungkin Anwar dapat membebaskan Malaysia dari rasuah dan budaya cukong dan oligarki.

Dari kempen antirasuah yang diteraju oleh Anwar jelas kelihatan bahawa Anwar amat serius untuk membasmi rasuah.

Anwar mahu mendirikan tata kelola negara yang cekap bersih dan amanah opps…. maaf… silap. Cekap, bersih dan amanah adalah slogan Mahathir.

Slogan Anwar ialah tata kelola wewenang perpaduan yang Madani.

Keseriusan Anwar membasmi rasuah dan budaya cukong ini dibuktikan apabila mengumumkan bahawa Anwar tidak akan mengambil gaji bulanan perdana menteri dan gaji bulanan menteri kewangan. Amin.

Anwar sebagai perdana menteri bekerja keras bertungkus-lumus ke hulu ke hilir sebagai menteri kewangan tanpa gaji. Berita ini telah memeranjatkan satu Malaysia.

Rakyat hairan, terpegun, terkejut dan tertanya-tanya. Najib dalam penjara Kajang pun akan terperanjat sama.

Dalam kehairanan ini ada seorang mamat bertanya, kalau Anwar perdana menteri nak beli mancis api dari mana Anwar menteri kewangan cari duit?

Ini soalan mamat yang bodoh kerana Anwar Ibrahim tidak menghisap rokok. Rumah Anwar bukan pakai pelita. Anwar tidak memerlukan mancis api.

Tapi bagaimana pula bila 3 Disember 2023 sampai tidak lama lagi. Bagaimana Anwar nak beli coklat sebagai hadiah hari jadi Wan Azizah Sang Isteri tercinta.

Ini pun pertanyaan bodoh kerana Wan Azizah tak minat pada coklat untuk jaga badan.

Justeru amat jelas Anwar Ibrahim menteri kewangan tidak perlu ambil gaji. Anwar Ibrahim perdana menteri sanggup hidup tanpa gaji demi berkorban untuk rakyat. Amin.

Pelik tetapi benar. Semasa berkempen PRU15 dahulu Anwar Ibrahim yang belum jadi perdana menteri dan belum menjadi menteri kewangan di lapor berhelikopter ke hulu ke hilir. Jeng jeng jeng.

Ini helikopter milik siapa? Mustahil helikopter milik Mat Sabu. Jika bukan milik Mat Sabu, helikopter ini siapa yang punya? Tunggu minggu hadapan. Amin. – 6 Oktober, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen