Oligarki dan kuasa daulah


Hishamuddin Rais

MINGGU lalu tulisan saya penuh dengan ketawa. Ketawa ini lahir apabila saya membaca berita bagaimana Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim dipanggil Kerajaan Madanon.

Kenapa Madanon, saya tidak arif. Dari mana asal usul Madanon, tidak pula saya diberi maklum.

Saya ketawa apabila ada politikus, ada YB parti pembangkang dan ada sosok NGO menuduh Kerajaan Madani a.k.a Kerajaan Madanon ini sebagai kerajaan hipokrit.

Hipokrit ini berasal dari bahasa asing. Untuk lebih jelas, saya bertanya dengan Lebai Google akan maknanya.

Mengikut Lebai Google, takrifan hipokrit ialah (orang yang) berpura-pura berperangai (berkelakuan, bersifat, dan lain-lain) baik, (orang yang) memperlihat keadaan diri yang berlainan daripada yang sebenarnya.

Dalam tulisan yang kita bincangkan ini terangkum orang dan juga  kerajaan. Kerajaan dikendalikan oleh sistem yang tata kelolanya dikendalikan oleh orang.

Maka maknanya dalam istilah bahasa harian ini Kerajaan Madani ini kerajaan pura-pura. Menteri dalam kerajaan ini pura-pura. Kerajaan ini cakap lain buat lain. Dalam bahasa pop – Kerajaan Madani cakap tak serupa bikin. Amin

Saya ketawakan sesiapa saja yang mengatakan Kerajaan Madani ini hipokrit. Untuk saya, semua kerajaan berperangai sama. Malah lebih menonjol lagi di negara Dunia Ketiga seperti di Malaysia ini.

Kenapa di Malaysia menonjol dan terbongkeng?

Jawabnya: Di Malaysia pameran kuasa itu lebih jelas untuk dilihat. Tidak ada pura-pura. Tidak ada selindung di belakang tabir. Contohnya: Anwar lantik Nurul sebagai penasihat ekonomi Menteri Kewangan. Anwar Perdana Menteri juga Menteri Kewangan. Nurul anak Anwar.  Dengan jelas dilihat kuasa berjalan dengan terbuka tanpa segan silu.

Dalam kes pembebasan Zahid ia terbongkeng kerana semuanya boleh dibaca dengan jelas.  Pertama: keberahian Anwar. Anwar berahi macam nak rak untuk menjadi perdana menteri.  Kedua: ketakutan Zahid Hamidi. Zahid takut lagi kecut akan dihantar ke penjara seperti Najib.

Takut dan berahi

Takut penjara dan berahi untuk jadi PM bertemu. Dua naluri kepentingan ini bersekedudukan dan melahirkan anak luar nikah bernama DNAA. Mustahil ini hipokrit. Mustahil para penganalisa politik tak faham perkara ini. Mustahil aktivis NGO tidak melihat bab ini.

Untuk saya, ini bukan hipokrit. Ini jalan lurus – siratul mustaqim – jalan lurus jangan belok-belok untuk mendapat kuasa.

Janji PRU ke, hukum hakam ke, peguam negara ke, Islam ke, semua tidak perlu diambil kira. Apa yang penting ialah kuasa jatuh ke tangan. Kerusi PM wajib diduduki oleh Anwar.

Menjadi PM – menjadi perdana menteri – untuk Anwar ini penting kerana di atas kerusi PM ini ialah kuasa. Kuasa ini adalah induk yang menjadi juragan dan pedoman kepada Anwar.

Jadi saya tidak hairan dan tidak terperanjat melihat apa yang sedang dilakukan Anwar pada ketika ini. Untuk saya semuanya siratul mustaqim untuk berkuasa.

Justeru, kita tidak perlu terperanjat apabila Zahid dibebaskan. Kita juga tidak perlu terbuka mata apabila melihat Sanusi ditangkap jam 3 pagi.  Para aktivis NGO tak perlu bersuara melaporkan  Zahid memberi rasuah membeli undi kelab motor di Terengganu.

SPRM bisu, tidak ada dakwa dakwi. Ini tepat dan betul. Semua ini menjamin siratul mustaqim menuju kuasa.

Kuasa

Saya selalu menulis dan menerangkan tentang kuasa. Kuasa ini ialah kuasa politik. Dalam konteks negara moden, kuasa politik diperoleh melalui undian, melalui cara pungutan suara dalam pilihan raya. 

Sistem dan cara mendapat kuasa jenis mengundi ini baru saja sampai kepada kita. Pilihan raya pertama di Tanah Melayu hanya bermula pada 1955.

Cara lama untuk memiliki kuasa ialah siapa kuat dia berkuasa. Tidak ada undi dan tidak ada pilihan raya. Aku ada keris, aku ada pedang, maka aku berkuasa.

Lanun dan penyamun pada zaman dahulu kala yang bijak main senjata, yang pandai bersilat atau yang bijak membunuh musuh akhirnya menjadi pemimpin kabilah. 

Pemimpin kabilah atau kepala gerombolan penyamun ini akan memperluaskan pengaruh dari kampung menjadi daerah, dari daerah menjadi negeri. Kepala gerombolan lanun ini akhirnya akan melantik dirinya sendiri untuk menjadi raja.

Untuk menjadi raja dan diterima oleh orang ramai agak mudah. Disebarkan mitos bahawa sosok yang diangkat menjadi raja ini adalah jelmaan tuhan.

Di sini kepala gerombolan lanun akan bersekongkol dengan tok bomoh, tok imam atau para agamawan. Para agamawan yang juga ingin mendapat pengaruh akan berpayung di bawah kuasa pedang lanun ini.

Para agamawan dengan rela hati akan menyebarkan mitos a.k.a cerita karut marut kepala penyamun ini adalah jelmaan tuhan.

Pedang memperkukuh kepala lanun untuk menjadi Raja. Para agamawan menjampi serapah untuk menghalalkan dan menobatkan kepala lanun menjadi Raja.

Ini berlaku ribuan tahun dahulu. Jika diperinci kita akan melihat tiada banyak perubahan dalam bab bagaimana kuasa dibentuk dalam negara kita hari ini.

Pertahan kuasa

Hari ini dalam Kerajaan Madani kita lihat semua ranting dan dahan kuasa bergerak seirama dan senada. Apa yang Anwar mahu Anwar akan dapat.

Jika YB Radzi Jidin buat kacau, YB Radzi akan disiasat oleh SPRM. Ini amat jelas siratul mustaqim mempertahankan kuasa.

Kita sepatutnya kagum dengan cara Anwar menggerakkan semua aparacik kuasa. Tanpa arahan dengan pantas SPRM masuk. Ini kehebatan SPRM. Lembaga ini tahu apa yang diperlukan oleh Anwar tanpa disuruh arah.

Inilah tanda kuasa. Tapi apa sebenarnya kuasa politik?

Kalau ratusan tahun dahulu kuasa hanya ada pada mereka yang memiliki senjata. Tetapi untuk menjadi Raja tidak cukup hanya dengan sebilah keris atau dengan jampi dan doa para agamawan. Raja perlu ada panglima dan pahlawan. Raja perlu ada bala tentera. Bala tentera perlu dana.

Pengerusi Mao berkata: Kuasa muncul daripada laras senapang.

Hishamuddin Rais berkata: Kuasa muncul daripada ringgit dan dolar.

Kalau di Arab Saudi ribuan tahun dahulu yang ingin berkuasa akan menyamun karavan para saudagar. Ghanimah – harta rampasan perang ini menjadi modal untuk memperkuat kedudukan. Untuk memperluas pengaruh.

Di Tanah Melayu ratusan tahun dahulu mereka menyamun dan melanun di laut. Hasil rompakan menjadi dana memelihara bala tentera untuk memperluas wilayah dan daerah. Cukai dan ufti dipungut jika tidak membayar pedang tombak keris akan sampai.

Itu ratusan tahun dahulu. Bagaimana sekarang?

Tidak banyak perbezaan. Jika Anwar dianggap Raja maka PDRM, SPRM. LHDN boleh ditafsir sebagai panglima dan hulubalang.

Tapi badan dan lembaga SPRM atau LHDN ini bukan pengeluar dana. Dari mana ghanimah akan muncul? Jeng jeng jeng.

Apakah dalam politik moden Kerajaan Madani masih ada ghanimah? Jawabnya ada.

Ghanimah

Dalam politik moden hari ini walaupun tidak ada karavan dan unta untuk diserang, tidak ada lanun di laut tetapi ghanimah masih wujud.

Sebenar-benarnya yang Muhyidin rebut dari Mahathir, yang Sabri rebut dari Muhyidin dan yang Anwar rebut dari Ismail Sabri adalah ghanimah.

Siratul mustaqim menuju kuasa adalah siratul mustaqim untuk mengumpul ghanimah. Di belakang kuasa politik adalah kuasa wang ringgit – kuasa daulah ialah dinar dan dolar.

Semua perebutan kuasa politik adalah perebutan wang ringgit.  Dalam perebutan ini Mak Cik Felda, Mat Grab, Pak Lebai, Pak Aji, pelajar dan siswa, petani, nelayan, buruh dan rakyat jelata sebenarnya hanya jadi Pak Pacak.

Pak Pacak dalam istilah filem adalah menjadi penghias mis-en-scene atau penghias bingkai filem. Mak Cik Felda dan Pak Cik Felda diperlukan untuk menambah indah pengundian. Untuk memolekkan demokrasi berparlimen.

Untuk memperlihatkan kuasa datang dari tangan orang ramai yang memilih dan mengundi. Pengundian memperlihatkan adanya demokrasi.

Demokrasi

Wayang demokrasi ini penting. Ia penting untuk menutup taring kuasa yang akan merompak dan melanun harta kekayaan.

Pak Cik dan Mak Cik Felda dan rakyat jelata para pengundi ini hanya perkakas demokrasi. Perkakas ini sendiri tidak faham dan tidak sedar mereka hanya perkakas.

Rakyat umum tidak akan diberi pencerahan tentang semua ini. Jika ada sosok yang berani mempertikaikan hakikat ini maka Anwar akan menghantar panglima dan hulubalang untuk menutup portal atau memadam Tik Tok atau mengancam dengan kereta polis siapa saja yang memiliki pandangan yang berbeza.

Suatu ketika dulu jika masih berdegil ada ISA. Akta Keselamatan Dalam Negeri akan digunakan. Hari ini Akta Hasutan sedang bergerak.

Malah pasti tidak lama lagi satu Akta baru – Akta RAB – Raja Agama dan Bangsa akan dibuat.

Apa hubungan semua ini dengan  kuasa dan ghanimah?

Kalau pada zaman dulu untuk mendapat kuasa wajib melanun dan merompak dulu untuk mengumpul dana. Ada dana, ada kuasa. Ada dana, ada bala tentera.

Tapi Anwar bukan kaya. Dia tidak berdana. Bagaimana Anwar mendapat dana untuk mendapat kuasa?

Di sinilah peranan Mak Cik dan Pak Cik Felda, peranan buruh, petani, nelayan dan orang ramai, NGO dan NGI.

Anwar mengolah persetujuan dengan semua sektor ini dengan janji yang molek-molek lagi indah. Demokrasi, hak asasi, hak kebebasan bersuara, ekonomi  baik, harga barang murah, hutang di lupus, subsidi  ditambah, gaji dinaik, berek polis, berek tentera dibaiki atau rumah rakyat dibina.

Ini namanya janji terbuka untuk orang ramai mendengar ketika berkempen dalam PRU.

Janji kepada orang ramai bukan hanya dapat didengar. Malah dapat dibaca dalam Kertas Manifesto Pakatan Harapan.

Awas! Ada satu lagi janji yang tidak diketahui umum. Janji ini adalah kepada para cukong, kepada pada para pelabur, kepada pelbagai jenis towkay.

Oligarki

Paling ketat lagi intim ialah janji kepada Tan Seri Maniam, kepada Tan Sri Kok Lim atau kepada Datuk Seri Tengku Raja. Dalam istilah politik moden sosok ini dikenali sebagai oligarki. Para oligarki ini adalah taikun kaya raya yang akan melabur untuk masa depan perniagaan mereka.

Mak Cik dan Pak Cik Felda hanya melabur harapan kepada Parti Keadilan Rakyat, kepada parti Amanah dan kepada Anwar Ibrahim. Pelaburan ini hanya diikat dengan janji Anwar ketika berkempen.

Mak Cik dan Pak Cik Felda hanya berjanji menghulurkan undi. 

Oligarki memerhatikan keupayaan Anuar mengolah persetujuan bakal pengundi. Apabila oligarki yakin Anwar berjaya atau berpotensi memasukkan semua Mak Cik dan Pak Cik Felda dan bakal pengundi, maka oligarki akan melabur.

Para oligarki tempatan tidak menghulurkan undi. Mereka melabur berjuta-juta wang ringgit. Para pelabur dari luar negara pula melaburkan berjuta dinar dan dolar.

Tanpa ringgit, dolar dan dinar mustahil kempen boleh berjalan. Pelaburan dari oligarki ini amat penting bukan hanya kepada Pakatan Harapan malah untuk semua parti politik termasuk Perikatan. Untuk menang dan untuk mendapat kuasa dana diperlukan daripada oligarki.

Tanpa dana oligarki politik semua parti politik akan gagal berkuasa. Dalam politik pengundian seperti di Malaysia ini dana dari oligarki amat penting. Pelaburan dari oligarki kunci kemenangan.

Hakikatnya kuasa politik di Malaysia ini sebenarnya ialah kuasa para oligarki.

Apakah ini bermakna Anwar, Rafizi atau Mat Sabu tidak berkuasa dalam Kerajaan Madani hari ini?

Sabar dulu. Masih ada lagi kuasa di belakang kuasa oligarki. Tunggu minggu hadapan. Amin. – 29 September, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen