Meniti agenda mansuh Akta Hasutan


Fakhrurrazi Rashid

TIDAK disangka-sangka, mangsa pertama Akta Hasutan 1948 bawah kerajaan perpaduan adalah seorang pemimpin daripada parti kerajaan, Ustaz Wan Ji Wan Hussin.

Secara peribadi, saya amat sedih apabila Wan Ji terpaksa melalui tempoh sukar ini. Keputusan ini tidak berbaloi dengan usaha Wan Ji membangun kesedaran politik dan pandangan progresif Islam dalam kalangan rakyat, khasnya anak muda.

Jika peguam negara boleh saja lepas tanpa bebas (DNAA) 47 kes pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa Zahid Hamidi, mengapa perkara yang sama tidak dilakukan dalam kes Wan Ji?

Pada 2018, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim DNAA atas tiga pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berkaitan kenyataan menghasut semasa krisis menteri besar Selangor pada 2014 di Twitter.

Keputusan ini dibuat timbalan pendakwa raya yang menarik semula pertuduhan atas kes Hassan. Jadi, mengapa perkara yang sama tidak berlaku kepada Wan Ji?

Jawapan seperti “Wan Ji kawan saya. Saya simpati dengan dia”daripada seorang menteri yang datang daripada parti politik yang sama, hanya menunjukkan kelemahan agenda reformasi itu sendiri; sedangkan kes sudah berjalan hampir 10 tahun.

Usaha membantu Wan Ji terlepas daripada hukuman ini sekadar cakap-cakap kosong. 

Bertahun-tahun Pakatan Harapan (PH) ditekan Akta Hasutan. Kempen demi kempen dijalankan bagi memansuhkan akta zalim ini. Belek sahajalah laporan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sejak 2008 yang sentiasa melaporkan bagaimana akta ini membungkam suara aktivis, ahli politik pembangkang, pemimpin pelajar dan belia untuk menegur pemerintah. 

Saya tidaklah naif dan beremosi dalam membincangkan kes Wan Ji yang ditetapkan mahkamah. Cuma, ramai tertanya-tanya, bilakah Akta Hasutan 1948 ini boleh dimansuh?

Keputusan kerajaan perpaduan meletakkan Akta Hasutan 1948 sebagai perisai kepada isu 3R (kaum, agama dan raja) seolah-olah menunjukkan undang-undang draconian ini masih lambat untuk dimansuhkan.

Terdapat pengamal undang-undang mula mempersoalkan kedudukan tersebut. Dari sudut berbeza, pendirian ini tidak selari dengan agenda reformasi yang bercita-cita untuk menegakkan peraturan yang lebih adil dan saksama, bukan dalam keadaan membungkam suara rakyat.

Dua langkah permulaan

Jika Najib Razak mampu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua tahun selepas menjadi perdana menteri, saya optimis kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim boleh melakukan perkara yang sama untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Usaha ini tidaklah sesukar mana kerana kumpulan Umno-BN yang ada dalam kerajaan perpaduan turut menjadi sebahagian daripada kerajaan BN yang memansuhkan ISA pada 2011.

Jadi, dari mana titik permulaan memansuhkan Akta Hasutan ini?

Pertama, sudah sampai masanya jawatankuasa pilihan khas berkenaan reformasi institusi di Dewan Rakyat memulakan prosiding atau kajian menyeluruh memansuhkan Akta Hasutan.

Hukuman ke atas kes Wan Ji adalah peluang terbaik untuk ahli parlimen dan badan eksekutif memulakan perubahan ini, sama seperti kes DNAA Zahid yang kini membuka ruang pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya yang bertahun-tahun menjejaskan integriti institusi negara.

Mungkin, sudah sampai masanya peraturan mesyuarat bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara dikaji semula untuk meminda peraturan yang terikat dengan Akta Hasutan agar institusi parlimen dapat dijadikan contoh jaminan hak bersuara dan memberi pandangan meskipun ia kritikal terhadap kerajaan. Ini juga satu mekanisme dalam memperkukuh peranan semak dan imbang parlimen.

Kedua, usaha memansuhkan Akta Hasutan harus diikuti dengan penggubalan akta baharu yang lebih adil bagi mengekang ucapan yang boleh memecahkan keharmonian dan perpaduan negara. Malah, kerajaan boleh merujuk semula undang-undang persendirian yang pernah dibawa oleh ahli Parlimen sejak 2008 untuk menggantikan Akta Hasutan. 

Mantan ahli Parlimen, Nurul Izzah Anwar dan Dr Mujahid Yusof Rawa pernah mengemukakan rang undang-undang (RUU) persendirian seperti RUU Akta Keharmonian Nasional di Dewan Rakyat pada 2013 dan 2017 bagi menggantikan Akta Hasutan. Kerangka RUU ini perlu dikaji semula agar ia mampu mengatasi isu sentimen perpecahan yang lebih rencam sekarang. 

Dua langkah ini boleh menjadi permulaan baik buat kerajaan perpaduan meneruskan agenda reformasi dengan menjamin hak bersuara berlandaskan semangat perlembagaan dan perpaduan nasional.

Ingat sahajalah bagaimana Akta Hasutan membungkam suara ahli Parlimen dan rakyat bersuara mengkritik skandal 1MDB yang dilakukan kerajaan dahulu. Rakyat tidak mahu kerajaan pada masa hadapan menggunakan mantera yang sama menekan ruang demokrasi rakyat, khasnya dalam memainkan peranan semak dan imbang ke atas tatakelola kerajaan pusat dan negeri. 

Jangan gopoh dalam perubahan

Yakinlah, pemansuhan Akta Hasutan akan memberi impak positif kepada imej Anwar dan kerajaan perpaduan dalam memperkukuh hak bersuara rakyat.

Dengan adanya hampir 14 parti komponen kerajaan, ia memberi satu mandat paling kuat buat perdana menteri memulakan kajian kepada akta ini. Pembangkang juga perlu bersifat bipartisan dalam hal ini kerana mereka turut merasai kesan buruk Akta Hasutan kepada perjalanan politik mereka.

Apa yang penting, ini masanya semua pihak yang mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948 memberi kerjasama erat dalam menyakinkan rakyat dan kerajaan bahawa perubahan ini dapat dilaksanakan dengan berhemah dan tidak tergopoh-gopoh.

Kerajaan perpaduan harus diberikan ruang seadilnya untuk memansuhkan Akta Hasutan secara menyeluruh. 

Negara dan rakyatnya harus ditegakkan dengan undang-undang yang memberi ruang menyuburkan pandangan secara rasional, bukan kerajaan menentukan segalanya dan membungkam suara rakyat seperti penggunaan Akta Hasutan.

Perubahan ini bukan soal membetulkan masa silam, tetapi untuk memastikan masa depan demokrasi negara terus cerah dan terjamin dalam membina keharmonian masyarakat yang cinta akan keamanan. – 5 Oktober, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen