SURUHANJAYA Eropah sedang mempertimbangkan untuk menghapuskan sekatan dana bernilai €13 bilion (AS$13.6 bilion) untuk Hungary, sekali gus membolehkan Budapest meningkatkan belanjawan, termasuk bantuan untuk Ukraine, lapor Sputnik memetik Financial Times pada Selasa.
Pihak berkuasa Eropah akan mengeluarkan dana itu sebelum penghujung November.
Langkah itu bertujuan untuk mendapatkan kelulusan Perdana Menteri Hungary Viktor Orban yang sebelum ini berkata beliau tidak akan menyokong peningkatan belanjawan Eropah sehingga Hungary mempunyai akses kepada dana itu.
Suruhanjaya Eropah membekukan €22 bilion dana yang diperuntukkan untuk Hungary pada Disember lalu kerana kebimbangan terhadap situasi hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang di negara itu.
Untuk menarik balik sekatan itu, Budapest melancarkan pembaharuan kehakiman pada Mei.
Jurucakap Suruhanjaya Stefan de Keersmaecker berkata pihaknya telah menghubungi Budapest pada 26 September lalu untuk mendapatkan “penjelasan” mengenai proses itu.
“Sebaik sahaja Hungary menjawab semua soalan, suruhanjaya itu akan meneruskan penilaiannya,” katanya.
Keputusan menarik balik sekatan itu mungkin akan menghadapi bantahan daripada Parlimen Eropah yang tidak berpuas hati dengan soft policy Brussels terhadap Orban, lapor akhbar itu.
Walaupun Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menyekat pemindahan dana, ia mungkin memperlahankan penggunaan belanjawan baharu EU.
Bajet baharu itu dicadang dinaikkan sebanyak €66 bilion, sebahagian daripadanya akan dibelanjakan untuk mengekalkan program bantuan kewangan €50 bilion untuk Ukraine.
Suruhanjaya Eropah memerlukan sokongan sebulat suara bagi meluluskan draf belanjawan. – Bernama, 3 Oktober, 2023.
Komen