Fahmi nafi arah sekat UtusanTV 


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beliau masih belum menerima sebarang laporan mengenai sekatan terhadap portal UtusanTV daripada SKMM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos 2023.

MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini berkata beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyekat sesiapa di mana-mana platform.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada laporan berita sebelum ini yang menyatakan bahawa sebuah portal berita, UtusanTV telah disekat kepada pengguna di Malaysia oleh SKMM.

Fahmi berkata beliau masih belum menerima sebarang laporan mengenai perkara itu daripada SKMM, namun akan mendapatkan butiran lanjut daripada suruhanjaya berkenaan. 

“Saya percaya media seharusnya bebas. Tetapi saya tidak memberi apa-apa arahan kepada SKMM untuk menyekat sesiapa, sama ada media (konvensional) atau media sosial. Tiada arahan dikeluarkan daripada saya atau pejabat saya.

“Sebagai contoh, kadang-kadang jika laporan polis atau aduan dibuat oleh orang ramai, SKMM mempunyai kuasanya sendiri dan ia boleh melakukannya (membuat sekatan). Kadang-kadang laporan juga datang daripada polis,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Dana Iklan Digital OHSEM di Kuala Lumpur hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan portal berita UtusanTV tidak dapat diakses sejak Isnin (7 Ogos) selepas ia disekat oleh SKMM.

Selain itu, Utusan Malaysia juga telah mengeluarkan notis menjelaskan Utusan Malaysia dan permit penerbitannya adalah milik sah syarikat Media Mulia Sdn Bhd iaitu tidak mempunyai kaitan dengan UtusanTV. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen