Lelaki disyaki dalang pembunuhan penyanyi rap AS Tupac Shakur ditahan


Duane "Keefe D" Davis (gambar) dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan penyanyi rap Amerika Tupac Shakur pada 1996. – Gambar AFP, 30 September, 2023.

POLIS Las Vegas pada Jumaat menahan seorang lelaki yang dipercayai dalang kes pembunuhan penyanyi rap Amerika Tupac Shakur pada 1996.

Duane “Keefe D” Davis, 60, ditahan pada pagi Jumaat di luar rumahnya dan berhadapan satu pertuduhan membunuh, kata Timbalan Ketua Peguam Daerah Clark, Marc DiGiacomo dalam pendengaran kes itu.

Hakim Daerah Jerry Wiese memerintahkan Davis ditahan tanpa boleh diikat jamin, United Press International (UPI) memetik laporan Las Vegas Review-Journal.

Leftenan Polis Metropolitan Las Vegas, Jason Johansson berkata walaupun Davis tidak menarik picu pistol yang membunuh Shakur, dia bersama lelaki bersenjata itu dalam kenderaan.

“Saya mencirikan Duane Davis adalah pembuat keputusan dalam kumpulan itu yang melakukan jenayah ini dan mengatur rancangan untuk melakukan jenayah ini,” kata Johansson dalam sidang akhbar.

The Review-Journal melaporkan penyiasat percaya anak saudara Davis, Orlando Anderson, yang meninggal dunia dalam satu lagi tembakan pada 1998, adalah orang yang menarik picu yang membunuh Shakur.

Dua lagi suspek dalam kes itu telah meninggal dunia, lapor CNN.

Polis berkata insiden pada 7 September 1996 itu tercetus akibat pertengkaran antara Shakur dan Anderson selepas menghadiri perlawanan tinju di MGM Grand antara Mike Tyson dan Bruce Seldon.

Shakur, 25, meninggal dunia enam hari kemudian, pada 13 September 1996. – Bernama, 30 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen