Las Vegas kini jadi 'bandar hantu'


Jika semua kasino di Amerika Syarikat terus tutup sehingga pertengahan Mei, industri itu bakal rugi AS$43.5 bilion. – Gambar AFP, 10 April, 2020.

PEKERJA kasino di Las Vegas semalam menyuarakan kemarahan selepas ditinggalkan majikan mereka di kota judi yang kini bertukar menjadi ‘bandar hantu’ akibat wabak Covid-19.

Berpuluh ribu pekerja hilang kerja selepas Nevada menutup semua perniagaan tidak perlu pada pertengahan Mac.

Walaupun terdapat beberapa kasion seperti Wynn dan Encore masih membayar gaji, kebanyakan pekerja dibayar gaji untuk dua minggu atau kurang daripada itu. Ramai terpaksa menghantar notis berhenti kerja, kata persatuan pekerja.

“Kami perlu beri keluarga kami makan, bil-bil juga main tertunggak,” kata Debra Jeffries, yang hampir 40 tahun bekera sebagai pelayan di kasino Strip.

“Melihat Vegas kini berubah jadi seperti bandar hantu begitu menakutkan.”

Jika semua kasino di Amerika Syarikat terus tutup sehingga pertengahan Mei, industri itu bakal rugi AS$43.5 bilion, menurut American Gaming Association.

Las Vegas menerima lebih daripada 40 juta pengunjung setiap tahun.

Bendahari Culinary Union, Geoconda Arguello-Kline menggesa pengusaha kasino besar seperti MGM Resorts dan Caesars Entertainment menjalankan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat setempat.

“Kami berpendapat industri kasino membiarkan pekerja sendirian…situasi ini sangat menyedihkan.

“Semua syarikat judi ini, mereka tahu merekalah nadi Las Vegas,” kata Arguello-Kline.

MGM Resorts dalam satu kenyataan berkata syarikat itu kini menumpu kepada memastikan ia mempunyai sumber bukan sahaja untuk beroperasi semula, tetapi beroperasi dengan jayanya.

“Ini kerana perkara paling baik yang kami boleh lakukan untuk pekerja kami bagi jangka masa panjang ialah membawa mereka kembali bekerja.”

Syarikat itu kini membantu pekerjanya mendapatkan pekerjaan di tempat lain dan menubuhkan dana bantuan kecemasan. – AFP, 10 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen