Moscow adakan konsert sempena ulang tahun penggabungan Rusia 


Presiden Vladimir Putin turut menetapkan Sabtu, 30 September, sebagai cuti umum rasmi yang menandakan "Hari Penyatuan" dengan Rusia.– Gambar EPA, 29 September, 2023.

RUSIA memperingati ulang tahun pertama penggabungan empat wilayah timur dan selatan Ukraine dengan konsert di Red Square di Moscow pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Walaupun tentera Rusia tidak mengawal mana-mana wilayah - Kherson, Zaporizhzhya, Donetsk dan Luhansk - secara keseluruhannya dan terpaksa menyerahkan beberapa wilayah kepada serangan balas Ukraine, Moscow terus berusaha untuk merampas sepenuhnya kesemua kawasan tersebut.

Presiden Vladimir Putin mengisytiharkan empat kawasan itu sebagai wilayah baharu Rusia tahun lalu berikutan pungutan suara yang tidak diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa dan mengukuhkan langkah itu dalam Perlembagaan Rusia.

Konsert yang menampilkan bintang-bintang Rusia seperti Dima Bilan dan Sergey Lazarev akan bermula pada 5.30 petang (1430 GMT) di bawah tema “One Land, One Family, One Russia”. Artis-artis lain yang membuat persembahan termasuk Polina Gagarina, Nikolay Baskov, Grigory Leps dan penyanyi ultranasionalis Shaman.

Putin telah menetapkan Sabtu, 30 September, sebagai cuti umum rasmi yang menandakan “Hari Penyatuan” dengan Rusia, hari di mana beliau menandatangani dekri penggabungan, tahun lalu. Konsert itu bertujuan untuk memperkenalkan kepada orang ramai tentang cuti baharu tersebut. – Bernama, 29 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen