PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un tiba di Rusia awal Selasa, kata seorang pegawai di kementerian pertahanan Korea Selatan.
Menurut agensi berita Yonhap, Kim akan mengadakan sidang kemuncak yang jarang berlaku dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, dengan kebimbangan semakin memuncak mengenai kemungkinan perjanjian senjata antara Pyongyang dan Moscow.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) mengesahkan Kim meninggalkan Pyongyang menuju ke Rusia dengan menaiki kereta api petang Ahad diiringi pegawai kanan parti pemerintah dan angkatan tentera.
Beberapa jam selepas laporan KCNA, jurucakap di kementerian pertahanan Korea Selatan, Jeon Ha Kyou memberi penilaian kereta api Kim menyeberang Rusia pada awal Selasa.
“Memandangkan sejumlah besar anggota tentera mengiringinya, (kami) memantau dengan teliti sama ada rundingan mengenai perdagangan senjata antara Korea Utara dan Rusia, dan pemindahan teknologi akan berlaku,” kata Jeon kepada pemberita.
Saluran media Rusia “Vesti Primorye” juga melaporkan kereta api Kim tiba di bandar Khasan hari ini dan sedang menuju ke bandar Ussuriysk.
Namun ia masih belum diketahui di mana Kim dan Putin akan mengadakan pertemuan.
Kremlin mengumumkan rundingan antara wakil-wakil Korea Utara dan Rusia dijadualkan semasa lawatan Kim termasuk perbincangan mengenai kemungkinan pertemuan bersemuka antara pemimpin-pemimpin itu.
Lawatan itu menjadi lawatan pertama Kim ke Rusia dalam tempoh lebih empat tahun dan kunjungan pertamanya ke luar negara sejak penularan wabak Covid-19.
Ketika Korea Utara dan Rusia mengesahkan kunjungan Kim ke negara itu Amerika Syarikat menyeru Pyongyang agar tidak menyediakan senjata kepada Rusia. – Bernama, 12 September, 2023.
Komen