Kumpulan gesa pinda Perlembagaan lindungi alam sekitar


Noel Achariam

Peka berkata penting bagi kerajaan untuk pemeliharaan hutan, laut, gunung, haiwan dan isu berkaitan alam sekitar lain di negara ini untuk jangka masa panjang. – Gambar EPA, 28 September, 2023.

PUTRAJAYA perlu mempertimbangkan pemindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan perkara baharu bagi pemulihan, pemeliharaan dan perlindungan alam sekitar semula jadi negara, kata kumpulan alam sekitar.

Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata ia penting untuk pemeliharaan hutan, laut, gunung, haiwan dan isu berkaitan alam sekitar lain di negara ini untuk jangka masa panjang.

Presiden Peka Damien Thanam Divean berkata cadangan mereka kepada kerajaan adalah artikel baharu dalam perlembagaan yang akan merangkumi perlindungan alam semula jadi.

“Kita sudah pun mencadangkan perkara ini kepada kerajaan.

“Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Kementerian Undang-undang dan Reformasi Institusi perlu melihat cadangan ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata sudah mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada 14 Ogos.

“Menteri berkata ia satu cadangan yang baik dan mereka akan usahakannya.

“Kami bersedia untuk bertemu atau membantu kerajaan dalam apa cara sekalipun.”

Antara isu diketengahkan dalam cadangan itu ialah mereka mahu kerajaan menandatangani perjanjian penebangan hutan 2030 bukan sahaja untuk pembalakan dan penebangan tetapi apa-apa sahaja yang menjejaskan hutan.

Damien berkata hutan di sini mesti kekal tidak disentuh dan penting bagi Malaysia terlibat dalam perjanjian penebangan hutan yang ditandatangani oleh lebih 100 negara.

“Perlu ada juga undang-undang yang menjadikan perjanjian itu mengikat secara sah. Bukan sekadar menandatangani perjanjian dan tidak mempunyai sebarang undang-undang untuk menguatkuasakannya (perjanjian).

“Kemudian (perjanjian) ini akan disokong oleh cadangan kami berhubung perkara mengenai alam sekitar dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami akan menggesa kerajaan untuk mengkaji perkara ini.”

Pada 2021, sebanyak 100 pemimpin dunia di sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Glasgow, komited untuk menghentikan dan menarik semula pembasmian hutan menjelang 2030.

Katanya, cadangan lain adalah untuk perlindungan segera 100% bagi semua spesies pendebunga dan habitat mereka.

“Sebagai contoh jika anda melindungi kelawar dan bukan habitatnya maka mereka akan mati.

“Sebanyak 70% makanan yang kita perolehi adalah daripada pendebunga seperti rama-rama, lebah, burung dan makhluk penyebar benih lain.

“Semua spesies ini perlu dilindungi. Tiada gunanya melindungi makhluk dan bukan persekitaran mereka.”

Bagi sungai, Damien berkata mereka mahu kerajaan meneliti pemulihan sungai yang penting untuk negara.

Terdapat lima kategori kualiti air di mana Kelas Satu - tiada rawatan diperlukan; Kelas Dua - berisiko ringan; Kelas 3 - rawatan meluas diperlukan; Kelas Empat - tercemar; dan Kelas Lima - berisiko serius.

“Kelas Satu adalah yang paling bersih dan Kelas Lima adalah sungai mati.

“Kami mencadangkan agar kerajaan memastikan semua sungai dipulihkan kepada Kelas Satu hingga Tiga.

“Sebagai contoh jika sungai bertukar dari Kelas Tiga kepada Kelas Empat maka kerajaan perlu mengharamkan kawasan di mana sungai itu berada dan memulakan kerja-kerja pemulihan.”

Beliau berkata pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi persekutuan untuk mengenal pasti punca sungai menjadi Kelas Empat dan menyelesaikan isu itu.

“Jabatan Saliran dan Pengairan yang bertanggungjawab terhadap sungai boleh meneliti perkara ini dengan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan agensi negeri.”

Damien menambah terdapat juga keperluan mewujudkan dana khas bagi mangsa yang terjejas oleh konflik haiwan liar dan manusia.

“Tabung ini adalah untuk pampasan kerosakan atau kehilangan haiwan seperti ayam, kambing dan lembu bagi penternak.

“Ini juga akan mengurangkan risiko haiwan liar dibunuh atau dicederakan oleh mangsa yang terjejas.”

Katanya, jika sesuatu kawasan itu menjadi habitat dan sumber makanan harimau atau gajah maka ia perlu dilindungi.

“Jabatan hidupan liar perlu diberi kuasa untuk menghalang kerajaan negeri atau entiti lain yang ingin mengambil alih atau membangunkan kawasan di mana haiwan itu berada.”

Pada 26 Ogos, Nik Nazmi berkata cadangan dana untuk petani akan dibawa ke Kementerian Kewangan bagi dimasukkan dalam Belanjawan 2024.

Beliau berkata garis panduan dasar sudah tersedia dan kementerian akan membincangkan perkara itu dengan Kementerian Kewangan. – 28 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen