Cadangan pinda Perlembagaan isu kerakyatan dalam masa terdekat, kata menteri


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata akan kemukakan Memorandum Jemaah Menteri kepada Kabinet untuk cadangan pindaan Bahagian II Jadual Ke-2. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2023.

CADANGAN meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

“Insya-Allah, saya dan (Menteri Dalam Negeri) Saifuddin Nasution dalam masa terdekat akan kemukakan Memorandum Jemaah Menteri bersama ke Kabinet untuk cadangan pindaan Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan isu kewarganegaraan,” tulisnya di Twitter semalam.

Walaupun Azalina tidak menjelaskan secara terperinci jenis pindaan yang akan dicadangkan, beliau turut menandai NGO Family Frontiers dalam pengumuman itu.

Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan menetapkan peraturan di mana seseorang yang dilahirkan selepas Hari Malaysia boleh menjadi warganegara Malaysia.

Family Frontiers kini terlibat dalam tuntutan mahkamah berhubung peruntukan tertentu dalam jadual yang membenarkan bapa warga Malaysia tetapi bukan ibu secara automatik menurunkan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Kumpulan itu mahu ibu warga Malaysia mempunyai hak yang sama untuk memberikan kewarganegaraan mereka kepada anak.

Bulan lalu, Saifuddin berikrar akan mengutamakan isu kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia.

Manifesto pilihan raya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu juga menjanjikan pindaan Perlembagaan yang akan memberi kedua-dua bapa dan ibu hak untuk memberikan kerakyatan kepada anak-anak mereka. – Bernama, 5 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen