Ekonomi negara dijangka terus sederhana dalam tempoh terdekat


LANDSKAP ekonomi Malaysia dijangka terus sederhana dalam tempoh terdekat berdasarkan data pada Julai dan Ogos, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Jabatan itu berkata ekonomi Malaysia menunjukkan pertumbuhan sederhana dengan berkembang 4.2% pada separuh pertama 2023.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi itu dipengaruhi oleh pertumbuhan 5.6% pada suku pertama dan 2.9% pada suku kedua.

“Jumlah perdagangan pada Julai 2023 merosot 14.4% daripada RM252.8 bilion pada bulan yang sama tahun lalu kepada RM216.4 bilion. Eksport menyusut 13.1% kepada RM116.8 bilion, manakala import menguncup 15.9% kepada RM99.7 bilion.

“Sementara itu, lebihan dagangan meningkat 7.9% dari tahun sebelumnya kepada RM17.1 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia.

Pada Ogos 2023, jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan nilai RM213.0 bilion, menguncup 19.8% atau RM52.7 bilion, manakala eksport dan import mencatatkan pertumbuhan negatif dua digit, masing-masing 18.6% dan 21.2%, tahun ke tahun.

Sebaliknya, lebihan dagangan meningkat sedikit sebanyak 0.1% kepada RM17.3 bilion.

Uzir berkata melihat keadaan ekonomi negara pada Julai 2023, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pulih semula kepada 0.7% pada Julai 2023, daripada -2.2% pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata peningkatan kecil pada Julai 2023 disokong oleh pertumbuhan dalam sektor perlombongan (4.2%) dan sektor elektrik (1.5%).

Sementara itu, sektor pembuatan kekal negatif, walaupun pada kadar yang lebih rendah sebanyak 0.2%.

Pada masa yang sama, nilai jualan sektor pembuatan berjumlah RM144 bilion pada Julai 2023, turun bagi bulan kedua berturut-turut, kepada -3.0% tahun ke tahun (y-o-y) daripada -4.0% pada bulan sebelumnya.

Prestasi itu dipengaruhi oleh kemerosotan berterusan dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik, mencecah kepada -15.3% pada bulan tersebut.

Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili 72.1% daripada jumlah jualan terus menurun sebanyak 7.0% pada Julai 2023 berbanding Jun -7.4%.

“Bagaimanapun, prestasi industri berorientasikan dalam negeri kekal cergas, mencapai 9.2% pada Julai 2023 berbanding 6.8% pada Jun 2023, mengurangkan kesan kemerosotan dalam industri berorientasikan eksport,” kata Uzir. – Bernama, 27 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen