Sentimen keyakinan perniagaan catat peningkatan suku ketiga 2023 


PARA peniaga meramalkan keadaan perniagaan yang bertambah baik untuk suku ketiga 2023 dengan petunjuk keyakinan positif iaitu 0.7% berbanding -3.1% pada suku kedua 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia disokong antaranya termasuk kestabilan pasaran pekerjaan, peningkatan dalam pelancongan domestik dan jangkaan yang lebih optimis dalam industri pelancongan kesihatan.

“Pada suku ketiga 2023, jangkaan perniagaan positif disokong oleh sektor perkhidmatan dan industri,” katanya dalam satu kenyataan berkenaan statistik kecenderungan perniagaan bagi suku tersebut hari ini.

DOSM berkata sektor perkhidmatan terus optimis terhadap prospek perniagaan dengan petunjuk keyakinan 6.1% berbanding 3.9% pada suku tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, sentimen dalam sektor Industri melonjak kepada trajektori positif dengan mencatatkan 1.3% berbanding -2.1% pada suku kedua 2023.

Ia berkata persepsi yang lebih baik dalam sektor industri disokong oleh dua sub-sektor, iaitu pertanian dan perlombongan, yang kedua-duanya menjangkakan keadaan perniagaan yang menggalakkan dalam suku tahun rujukan.

Sebaliknya, sektor pembinaan terus menjangkakan keadaan perniagaan yang negatif dengan petunjuk keyakinan -26.9% pada suku ketiga 2023.

Begitu juga, sektor perdagangan borong dan runcit kekal pesimis dengan petunjuk keyakinan yang lebih baik -1.5% pada suku tahun rujukan daripada -10.2% pada suku kedua 2023, katanya.

Sentimen perniagaan kekal optimis untuk separuh kedua 2023

DOSM berkata melihat kepada sentimen perniagaan untuk enam bulan akan datang berakhir Disember 2023, peniaga kekal optimis, meskipun dengan imbangan bersih yang lebih rendah iaitu 13.9% daripada 14.9% direkodkan sebelum ini.

“Tinjauan positif disokong merentas semua sektor, menunjukkan keadaan perniagaan yang bertambah baik dalam tempoh yang diramalkan,” kata agensi itu.

Menurut DOSM sektor perkhidmatan menjangkakan situasi perniagaan yang menggalakkan dalam enam bulan akan datang dengan imbangan bersih 27.0% berbanding 30.1% yang dicatatkan bagi tempoh April hingga September 2023.

Begitu juga, sektor Industri menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan imbangan bersih 9.7% berbanding 15.6% sebelum itu.

Di samping itu, sektor perdagangan borong dan runcit serta pembinaan bertukar optimis terhadap situasi perniagaan bagi separuh kedua 2023.

Sentimen dalam sektor perdagangan borong dan runcit meningkat dengan imbangan bersih 7.2% dibantu oleh prospek yang lebih baik dalam sub-sektor perdagangan borong.

Ia berkata sektor pembinaan turut meramalkan keadaan perniagaan yang positif dengan imbangan bersih 2.6% berbanding -7.7% yang dicatatkan sebelum ini. – Bernama, 29 Ogos, 2023.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen