Inflasi Malaysia kekal 2.0% pada Ogos, kata Perangkaan


INFLASI Malaysia kekal pada 2% bagi Ogos 2023 sama dengan kadar pertumbuhan yang dicatatkan pada Julai 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM berkata kadar inflasi yang dicatatkan pada Ogos disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan lebih perlahan dalam restoran dan hotel yang jatuh 4.7% daripada 5% pada Julai 2023; makanan dan minuman bukan alkohol (4.1% berbanding 4.4% pada Julai 2023), serta pelbagai barangan dan perkhidmatan yang menyederhana kepada 2.4% daripada 2.6% pada bulan sebelumnya.

Kata DOSM, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP).

Sementara itu, kadar inflasi bagi sektor pengangkutan Ogos 2023 tidak mencatatkan sebarang peningkatan (0.0 %) berbanding -0.4% pada Julai 2023.

Mengenai inflasi teras, DOSM berkata ia meningkat 2.5% pada Ogos 2023 berbanding 2.8% pada Julai 2023 namun ia masih melepasi kadar inflasi nasional keseluruhan 2%.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu dengan kenaikan 5.1% diikuti oleh kumpulan restoran dan hotel yang meningkat sebanyak 4.7% dan pengangkutan (3.6%).

“Sementara itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan dan kesihatan masing-masing meningkat 2.4%,” katanya.

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, DOSM berkata inflasi 2% di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Zon Eropah (5.3%), Filipina (5.3%), Republik Korea (3.4 %), Indonesia (3.3 %) dan Vietnam (3.0 %). Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (0.9 %) dan China (0.1 %), katanya.

Di peringkat negeri, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata tujuh negeri mencatatkan peningkatan melebihi paras inflasi negara 2% iaitu Sarawak (3.4%), Putrajaya (2.%), Perlis (2.4 %), Perak (2.3%), Selangor (2.3%), Pahang (2.2%) dan Melaka (2.1%), manakala sembilan negeri lain mencatatkan pertumbuhan di bawah 2%.

Pada asas bulan ke bulan, DOSM berkata inflasi keseluruhan pada Ogos 2023 meningkat marginal kepada 0.2% berbanding 0.1 % pada Julai 2023.

Peningkatan ini disumbangkan oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, 0.5% berbanding tidak berubah pada Julai 2023 serta kesihatan yang meningkat 0.5% daripada 0.2% pada Julai 2023. – Bernama, 22 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen