Pelarian dari Nagorno-Karabakh memasuki Armenia meningkat kepada 28,120


Pelarian Nagorno-Karabakh di sebuah hotel di Armenia. Jumlah pelarian meningkat selepas Azerbaijan melancarkan operasi ketenteraan di wilayah itu. – Gambar AFP, 27 September, 2023.

JUMLAH penduduk yang melarikan diri dari Nagorno-Karabakh ke Armenia selepas Azerbaijan melancarkan operasi ketenteraan di wilayah itu meningkat kepada 28,120 orang, menurut kerajaan Armenia pada Selasa.

“Sehingga 26 September 8:00 malam (waktu tempatan, 18:00 GMT), 28,120 orang memasuki Armenia dari Nagorno-Karabakh. Daripada jumlah ini maklumat pendaftaran untuk 20,800 dipermudahkan dan penilaian keperluan sebanyak 7,320 masih dalam proses,” menurut kerajaan dalam satu kenyataan menerusi laman sesawangnya.

Pihak berkuasa turut menyediakan penginapan kepada mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal dan seramai 3,253 orang ditempatkan, menurut kenyataan itu.

Pada 19 September Azerbaijan melancarkan aktiviti anti-pengganas peringkat tempatan di Nagorno-Karabakh bertujuan untuk memulihkan ketertiban perlembagaan.

Media kerajaan Armenia melaporkan beberapa kematian membabitkan orang awam akibat serangan Azerbaijan.

Kementerian Pertahanan Rusia kemudian mengeluarkan kenyataan Azerbaijan dan wakil penduduk Armenia di Nagorno-Karabakh bersetuju untuk menghentikan sepenuhnya pertikaian melalui pengantaraan pasukan pengaman Rusia. – Bernama, 27 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen