LATIHAN ketenteraan bersama Armenia-AS dikenali sebagai “Eagle Partner 2023” akan diadakan di Armenia dari 11-20 September, lapor Sputnik, memetik Kementerian Pertahanan Armenia pada Rabu.
“Dalam rangka persiapan untuk penyertaan dalam misi pengaman antarabangsa, latihan bersama Armenia-AS “Eagle Partner 2023” akan diadakan dari 11 hingga 20 September di Armenia, khususnya di Pusat Latihan ‘Zar’ Briged Pengaman dan Pusat Latihan ‘N’ Kementerian Pertahanan. Latihan itu melibatkan tugas penstabilan antara pihak bertelagah semasa misi pengaman,” menurut laporan memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Armenia pada Rabu.
Kenyataan itu menyebut latihan bertujuan untuk meningkatkan “tahap kebolehoperasian unit yang mengambil bahagian dalam misi pengaman antarabangsa dalam rangka operasi pengaman, untuk bertukar amalan terbaik dalam kawalan dan komunikasi taktikal, serta untuk meningkatkan kesediaan unit Armenia untuk penilaian ‘Konsep Keupayaan Operasi’ NATO/PfP yang dirancang”.
“Dalam rangka persediaan untuk misi pengaman, unit yang bersiap sedia untuk operasi pengaman antarabangsa kerap menyertai latihan dan latihan bersama yang serupa di negara rakan kongsi,” tambah kementerian itu. – Bernama, 6 September, 2023.
Komen