MESIR pada Sabtu mengumumkan ia mewajibkan semua rakyat Sudan, yang dilanda konflik berdarah sejak pertengahan April, mendapatkan visa sebelum menyeberangi sempadan.
Sejak pertempuran meletus antara dua jeneral yang bersaing untuk menguasai Sudan, kira-kira 200,000 warga Sudan memasuki Mesir, kebanyakan mereka melalui lintasan darat, kata Kaherah.
Pihak berkuasa Mesir setakat ini mengecualikan wanita rakyat Sudan dari semua peringkat umur, kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dan sesiapa yang berumur lebih 50 tahun daripada mendapatkan visa sebelum tiba di pintu masuk.
Kementerian Luar Kaherah mengeluarkan kenyataan pada Sabtu mengumumkan peraturan baharu itu, mewajibkan langkah itu sebagai tindakan keras terhadap “aktiviti haram” termasuk penipuan.
Pihak berkuasa memperkenalkan prosedur visa bertujuan mengawal “kemasukan rakyat Sudan ke Mesir selepas lebih 50 hari krisis” di negara mereka, kata kenyataan itu.
Ia berkata keperluan baharu itu bukan dibuat untuk “mencegah atau mengehadkan” kemasukan warga Sudan, sebaliknya untuk menghentikan “aktiviti haram oleh individu dan kumpulan di sempadan Sudan, yang memalsukan visa masuk” demi keuntungan.
Sudan digegarkan oleh hampir dua bulan pertempuran yang menyaksikan lebih 1,800 orang terbunuh, menurut Armed Conflict Location and Event Data Project. Agensi bantuan dan pertubuhan antarabangsa berkata jumlah kematian sebenar mungkin lebih tinggi.
Pertubuhan Migrasi Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata hampir dua juta rakyat Sudan kehilangan tempat tinggal, termasuk 476,000 yang mendapatkan perlindungan di negara jiran.
“Mesir mengalu-alukan lebih 200,000 rakyat Sudan sejak permulaan krisis… menambah kira-kira 5 juta rakyat Sudan yang sedia ada” di negara itu sebelum perang, kata kenyataan kementerian luar.
Media Sudan dan beberapa pengguna media sosial melaporkan sejak dua hari lalu arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir di dua lintasan sempadan dengan Sudan, yang menurutnya “masuk ke Mesir dibenarkan hanya selepas mendapat visa, bagiksemua kumpulan umur dan jantina”.
Kementerian Luar Mesir menegaskan dalam kenyataannya yang konsulatnya di Sudan dibekalkan dengan peranti elektronik untuk melaksanakan peraturan ini dengan cara yang tepat, cepat dan selamat bagi memastikan kemasukan warga Sudan dengan teratur. – AFP, 11 Jun, 2023.
Komen