Memaknai reformasi di era Malaysia Baharu


Fakhrurrazi Rashid

Reformasi kini berada di kemuncak dan Anwar Ibrahim mempunyai seribu harapan untuk memaknai idealisme reformasi yang diungkapkan lebih 20 tahun yang lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2023.

MENJEJAK semula ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor bagi menghadiri forum sambutan 25 tahun gerakan reformasi, telah mengembalikan semula ingatan dan memori bagaimana gerakan ini membina generasi yang mengimpikan Malaysia yang lebih baik.

Diskusi malam itu seperti recharge tenaga dan ilmu yang pernah dikutip di dalam dewan kuliah dan jalanan bagi memaknai semula sebab-sebab reformasi itu penting untuk kesejahteraan Malaysia.

Mereka yang hadir kebanyakannya sudah putih beruban rambutnya, ada yang sudah meningkat usia dan badan, dan kebanyakan sudah menjadi ibu bapa kepada generasi baharu, tidak lagi ranggi dan macho seperti dulu.

Mereka hadir secara sukarela, terpanggil untuk mencari jawaban tentang gerakan reformasi. Apakah reformasi ini sudah ‘mati’? Apakah perjuangan ini sudah lengkap? Apakah pendekatan untuk membesarkan lagi agenda reformasi?

Hasmi Hashim membuka forum dengan menyatakan dialog masyarakat seperti forum reformasi ini telah dipinggirkan sekian lama setelah Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pada tahun 2018. Pandangan Hasmi ini tepat kerana segelintir pemimpin PH tidak lagi serius membingkai hala tuju reformasi seterusnya. Idealisme yang dibahas berjela-jela panjangnya sewaktu melawan sistem korup semakin dipinggirkan.

Kempen politik yang panjang

Ramai kurang sedar, gerakan reformasi pada 1998 merupakan kempen politik terpanjang dalam sejarah Malaysia mahupun antarabangsa. Gerakan ini ditunjangi pelbagai elemen yang menyebabkan ia masih konsisten merentasi zaman lebih dua dekad. Seperti yang ditekankan Yusmadi Yusoff, reformasi adalah hasil gandingan erat media alternatif, badan peguam, ahli akademik, NGO dan pemimpin belia.

Setiap tulisan, artikel dan buku berkaitan agenda reformasi ini diterima dengan meluas oleh masyarakat dan anak muda sejak Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) tahun 2008. Ruang ini dimanfaatkan pemimpin gerakan reformasi melaksanakan advokasi, membentuk pelapis baharu, dan membincangkan kerangka ekonomi dan politik baharu dalam melengkapi idealisme reformasi. 

Saya juga mengumpul minat tentang analisis politik dan institusi parlimen hasil pembacaan artikel dan buku daripada ahli akademik negara seperti Dr Wong Chin Huat, Dr Francis Loh Kok Hua, Dr Johan Saravanamuthu dan Dr Syed Husin  Ali. Tidak kurang juga tulisan daripada pemimpin generasi reformasi seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Dr Dzulkefly Ahmad, Liew Chin Tong, Nurul Izzah Anwar dan Anwar Ibrahim sendiri.

Tulisan kritis mereka telah memberi pencerahan jelas memaknai erti sebenar reformasi kepada generasi muda pasca PRU12 dan melangkaui politik kepartian. Bahkan, tulisan-tulisan dihasilkan telah memperluaskan lagi sudut kefahaman belia dengan isu-isu global yang turut membincangkan perubahan sistem dari pelbagai sudut demi mengekalkan kemakmuran rakyatnya, termasuk memperkasa institusi Parlimen. 

Keutuhan struktur gerakan reformasi telah membuatkan ideanya diterima ramai sehingga hari ini meskipun ada segelintir anak muda tidak pernah melalui dan merasai perjuangan reformasi di peringkat awal. Persoalannya, apakah reformasi sudah mati atau masih bernyawa?

Dalam forum tersebut, Lokman Adam menyatakan reformasi tidak berjaya selagi Dr Mahathir Mohamad tidak diheret ke mahkamah dan dipenjarakan atas amalan korupsi, kronisme, dan nepotisme sewaktu mentadbir negara.

Zunar pula menyeru agar peluang harus diberikan kepada Anwar untuk melakukan pembaharuan dan perlu menyokong kerajaan Madani secara total dalam tempoh lima tahun.  Wan Hamidi, bekas wartawan lama, menyarankan agar kerajaan hari ini perlu melaksanakan pembaharuan institusi dengan segera agar rakyat merasakan reformasi diperjuangkan berbaloi.

Namun, sedikit  mengecewakan apabila beberapa panelis yang pernah merasai gas pemedih mata dan jerih payah reformasi, akhirnya menyalahkan generasi muda yang tidak berpihak kepada kerajaan dan trend TikTok yang dilihat sebagai lubuk memfitnah kerajaan. Bukankah pandangan ini pandangan dangkal?

Membingkai semula reformasi

Malah, meletakkan kejayaan reformasi seperti bermain police and thief untuk menangkap dan menghumban Dr Mahathir ke penjara semata-mata dan meminta rakyat menyokong kerajaan untuk kekal lima tahun tanpa pembaharuan progresif hanya menunjukkan bibit-bibit keretakan gerakan reformasi yang hilang nilai serta asas perjuangannya.

Sebab itu, memaknai idealisme reformasi wajar dibahasakan secara meluas agar ia tidak hilang daripada pemikiran rakyat dan sentiasa menyedarkan pak menteri di Putrajaya. Kerangka ini haruslah berjiwa besar, mampu mengambil kira cabaran masa hadapan dan meningkatkan lagi rangkaian komunikasi dengan segmen baharu, khasnya anak muda.

Disebabkan tidak ada kerangka baharu reformasi, usaha membetulkan undang-undang, institusi awam dan ekonomi mudah dimanipulasikan pihak tertentu. Bahkan, tindakan kerajaan mengamalkan “business as usual” dan bercanggah dengan asas reformasi hanya mengecewakan sebahagian besar rakyat, sehingga mereka mudah membuat kesimpulan bahawa reformasi sudah mati.

Kritikan terhadap agenda reformasi hanyalah letusan kecil yang sepatutnya memberi kesedaran kepada pemimpin dan pendukung reformasi bahawa kerja-kerja memperkukuh usaha pembaharuan politik, ekonomi dan sosial masih belum selesai.

Perubahan politik yang bergerak secara dinamik memerlukan agenda reformasi ini kekal subur dan mekar meskipun berdepan cabaran yang rumit. Tidaklah ia sekadar sebuah idea yang terikat dengan imej demonstrasi dan sukar diadaptasi apabila mengemukakan cadangan pembaharuan kepada generasi akan datang.

Apabila sudah ada kerangka jelas, percayalah bahawa rakyat akan memberi keutamaan kepada agenda pembaharuan. Trend di media sosial, fitnah dan retorik politik yang membungkam idealisme reformasi mudah disangkal dengan mesej yang betul.

Ini lebih baik berbanding menumpukan seluruh tenaga melawan pembangkang di media sosial.

Reformasi kini berada di kemuncak dan Anwar mempunyai seribu harapan untuk memaknai idealisme reformasi yang diungkapkan lebih 20 tahun yang lalu.

Saya gusar, laungan reformasi bagi 20 tahun akan datang sekadar ungkapan populis generasi baharu dan akan terus menyusut kerana kegagalan generasi reformasi hari ini yang lupa memaknai gagasan reformasi yang sebenar. – 27 September, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen