Mahkamah batal kemenangan PAS di Kemaman


Diyana Ibrahim

MAHKAMAH Pilihan Raya di Terengganu membatalkan kemenangan ahli Parlimen PAS Che Alias Hamid di kerusi Kemaman dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Hakim Pilihan Raya Anselm Charles Fernandis mendapati wujud sogokan sewaktu kempen pilihan raya di kerusi itu.

“Mahkamah mengarahkan kos sebanyak RM30,000 untuk dibayar oleh responden kepada pempetisyen,” katanya sewaktu membacakan keputusannya.

Beliau merima permohonan pempetisyen daripada Umno Terengganu yang mendakwa wujud sogokan melalui program bantuan kerajaan negeri meraih undi semasa dalam kempen itu.

Keputusan itu dibuat ke atas petisyen yang difailkan semula oleh seorang pengundi kawasan itu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Beliau mengemukakan petisyen baharu selepas mahkamah menerima bantahan awal yang dikemukakan responden pada 12 Feb lepas.

Wan Mohamad mendakwa wujud unsur rasuah di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan semasa tempoh berkempen.

Sementara itu peguam yang mewakili ahli Parlimen PAS, Wan Rohimi Wan Daud berkata hakim memberi ruang kepada responden sehingga 3 Oktober ini untuk memfailkan rayuan.

“Kita ada buat permohonan untuk gantung sementara keputusan hari ini. Tapi setelah perbincangan dengan kedua pihak peguam.

“Hakim hanya membenarkan untuk memberi ruang sehingga 3 Oktober ini untuk responden membuat rayuan,” katanya.  

Jelasnya jika pihak responden tidak menghantar sebarang rayuan dalam tempoh tersebut, hakim akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai keputusan hari ini.

Ditanya sama ada PAS akan membuat rayuan, beliau berkata ia akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pemimpin tertinggi parti.

“Saya perlu adakan perbincangan dahulu dengan ahli Parlimen, pimpinan parti Terengganu dan pusat. Ia akan diputuskan dalam mesyuarat parti,” katanya.

Pada Jun lepas Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu juga membatalkan kemenangan Ahli Parlimen PAS Ahmad Amzad Hashim di Kuala Terengganu pada PRU15.

Kerusi tersebut bagaimanapun berjaya dikekalkan PAS dalam pilihan raya kecil yang dijalankan serentak dengan pilihan raya negeri pada 12 Ogos lalu. – 26 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen