Taman Eko Rimba Air Menderu tutup ancaman harimau


Maklumat penutupan itu diberitahu kepada orang awam melalui notis yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. – Gambar Facebook, 2 Februari, 2022.

TAMAN Eko Rimba Air Menderu di Kampung Chabang dekat Kerteh di Kemaman, Terengganu ditutup kepada semua pengunjung berkuat kuasa semalam susulan ancaman harimau belang.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu Roslan Rani, berkata maklumat penutupan itu diberitahu kepada orang awam melalui notis yang dikeluarkan jabatan.

“Jabatan Perhutanan mendapat maklumat daripada penduduk kampung dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu kemungkinan ancaman harimau di sekitar kawasan itu.

“Penutupan kawasan rekreasi itu atas faktor keselamatan pengunjung dan tarikh pembukaan semula akan dimaklumkan kelak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chabang Ahmad Thalhah Ubaidillah Amri berkata, kawasan rekreasi itu sering menjadi tumpuan pengunjung terutama ketika cuti am.

“Apa yang membimbangkan, ada penduduk kampung terserempak dengan harimau itu sejak akhir-akhir ini. Jadi, JPKK Kampung Chabang beritahu Perhilitan Terengganu dan Jabatan Perhutanan untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan menutup sementara Taman Eko Rimba Air Menderu.

“Harimau itu pernah menyerang dua ekor lembu dan dua ekor anjing milik penternak. Buat masa ini, Perhilitan memasang satu perangkap harimau pada 23 Januari lalu. Kami harap pengunjung tidak datang ke sini untuk sementara waktu kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kelibat harimau itu kelihatan di Paka, Dungun dan sehingga kini masih belum ada tangkapan dilakukan. – Bernama, 2 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen