Mayat ke-8 tragedi kepala air dijumpai


MAYAT kelapan mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih ditemukan kira-kira 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mayat Putri Alleya Maisarah Karim, 16, dijumpai pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian iaitu di sektor A di atas beting pasir pada ketinggian lima meter.

Pengecaman mayat dilakukan oleh waris mangsa.

“Kedudukan mayat Putri Alleya Maisarah hanya 500 meter dari lokasi penemuan mayat kedua iaitu adiknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, pada Ahad,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, Chukai, hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang.

Pada Ahad, 10 individu termasuk sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang dilaporkan berkelah di Jeram Air Putih pada petang Sabtu, sebelum hilang dihanyutkan kepala air di kawasan itu.

Lapan mayat telah ditemukan dan dikenal pasti identitinya iaitu Karim Abdullah, 39; Azizah Eiyi, 40; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; dan Putri Alleya Maisarah Karim, 16.

Dua yang masih hilang ialah Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati. – Bernama, 4 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen