MALAYSIA bersedia menghadapi sebarang wabak masa depan yang mungkin lebih membawa maut daripada Covid-19, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Persediaan sedang dibuat oleh sektor kesihatan termasuk untuk menghadapi ancaman wabak dikenali sebagai “Penyakit X”.
“Ia dipanggil X kerana kita tidak tahu apa penyakit itu tetapi kementerian sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia akan memaklumkan negara anggotanya apabila wabak penyakit baharu berlaku,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York baru-baru ini di mana 154 anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersidang bersama menteri kesihatan tidak membincangkan Penyakit X.
“Namun apa pun, kita sentiasa bersiap siaga atas apa sahaja kemungkinan dan di peringkat WHO pun, saya percaya mereka akan memberikan `alert’ kepada negara-negar yang berkenaan, kalau ada,” katanya.
Pakar kesihatan memberi amaran pandemik seterusnya yang dilabel sebagai Penyakit X mungkin lebih dahsyat daripada Covid-19 mengakibatkan kehilangan berjuta-juta lagi nyawa berbanding Covid-19.
WHO melabelkan Penyakit X kerana tiada siapa yang tahu apakah wabak seterusnya.
Ia mencadangkan penyediaan segera vaksin sebagai tindak balas pantas, memetik fakta bahawa dunia tidak bersedia ketika berdepan Covid-19 pada awal 2020. – Bernama, 25 September, 2023.
Komen