PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu telah mengklasifikasikan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global.
Pengisytiharan itu dibuat susulan wabak tersebut yang menjangkiti hampir 17,000 orang dari 74 negara.
“Saya putuskan wabak cacar monyet ini berada di peringkat kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan dunia,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media lapor AFP.
Katanya jawatankuasa yang bermesyuarat pada Khamis gagal mencapai kesepakatan jadi tanggungjawab untuk membuat keputusan tersebut terletak pada bahunya.
“Penilaian WHO adalah risiko cacar monyet ini sederhana secara global kecuali di rantau Eropah yang risikonya tinggi,” tambahnya.
Pada 23 Jun, WHO mewujudkan jawatankuasa pakar kecemasan untuk memutuskan sama ada cacar monyet boleh diklasifikasikan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) - tahap amaran tertinggi agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun majoriti menasihatkan Tedros pada ketika itu bahawa keadaan belum mencapai ambang dan mesyuarat kedua dipanggil ketika bilangan kes semakin meningkat.
Lonjakan jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei di luar negara Afrika Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu telah lama menjadi endemik. – AFP, 23 Julai, 2022.
Komen