TENTERA Israel berkata ia melancarkan serangan dron baharu ke atas Semenanjung Gaza pada Ahad menyasarkan “dua pos tentera” kumpulan Hamas selepas protes oleh rakyat Palestin bertukar ganas.
Serangan terbaru adalah antara siri yang berlaku di tengah-tengah demonstrasi hampir setiap hari di sempadan oleh penduduk Palestin selepas Israel menutup lintasan Erez dari Gaza.
Tentera Israel “menyerang dua pos tentera milik pertubuhan pengganas Hamas” di kawasan Bureij dan Jabalya di mana “rusuhan ganas” berlaku, kata tentera dalam satu kenyataan.
“Sebuah alat letupan dilemparkan dari pusat Bureij ke arah askar, bersebelahan dengan sempadan keselamatan di Semenanjung Gaza,” katanya, sambil menambah tentera tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kementerian kesihatan yang dikawal Hamas di Gaza berkata bahawa lima rakyat Palestin cedera “terkena peluru Israel” semasa tunjuk perasaan di sepanjang sempadan.
Protes tercetus di Gaza setiap hari sejak pihak berkuasa Israel menutup Erez Crossing, satu-satunya pintu masuk untuk pejalan kaki memasuki Israel dari kawasan pinggir pantai.
Penunjuk perasaan sering membakar tayar, membaling batu dan bom petrol ke arah tentera Israel, yang bertindak balas dengan gas pemedih mata dan peluru hidup.
Ribuan pekerja Palestin dari Gaza dihalang daripada memasuki Israel dengan penutupan lintasan itu, yang dikutuk oleh NGO Israel, Gisha sebagai “hukuman kolektif”.
Israel telah mengeluarkan permit kerja kepada kira-kira 18,500 warga Gaza, kata badan kementerian pertahanan Israel yang bertanggungjawab bagi hal ehwal awam Palestin COGAT, kepada AFP.
Sejak 13 September, enam rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera semasa keganasan di sempadan, menurut angka dari kementerian kesihatan di Gaza.
Israel mengenakan sekatan udara, darat dan laut ke atas penduduk Palestin yang miskin sejak kumpulan Hamas merampas kuasa pada 2007.
Konflik bersenjata meletus antara Israel dan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza.
Pada Mei lalu, serangan udara Israel dan tembakan roket Gaza mengakibatkan kematian 34 rakyat Palestin dan seorang Israel. – AFP, 25 September, 2023.
Komen