Jumlah korban banjir di Libya cecah 3,800 orang


Lebih 43,000 orang dipindahkan dari bandar dan bahagian jiran di timur Libya selepas banjir kilat memusnahkan bandar pelabuhan Drna di Libya. – Gambar EPA, 24 September, 2023.

HAMPIR dua minggu selepas banjir kilat memusnahkan bandar pelabuhan Derna di Libya, angka kematian rasmi terus meningkat melebihi 3,800 semalam.

Seramai 3,845 orang kini disahkan meninggal dunia, kata Mohamed Eljarh, jurucakap jawatankuasa bantuan yang ditubuhkan oleh pihak berkuasa di timur Libya.

Beliau berkata angka itu termasuk hanya mereka yang pengebumiannya direkodkan oleh kementerian kesihatan dan ia dijangka meningkat setiap hari.

Mayat mangsa yang dikebumikan oleh penduduk dalam beberapa hari pertama selepas bencana melanda pada malam 10 hingga 11 September tidak disenaraikan, katanya.

Ramai yang maut dipercayai dihanyutkan ke laut manakala yang lain dipercayai tertimbus di bawah serpihan yang menutupi seluruh kawasan kejiranan Derna.

Lebih 43,000 orang dipindahkan dari bandar dan bahagian jiran di timur Libya, kata Pertubuhan Migrasi Antarabangsa awal minggu ini. – AFP, 24 September, 2023.  



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen