BEKAS Menteri Pendidikan Radzi Jidin menafikan beliau terlibat dengan dakwaan rasuah berhubung satu kontrak rundingan terus berkaitan percetakan buku sekolah yang sedang disiasat oleh agensi antirasuah.
Dalam satu kenyataan, Radzi mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas setiausaha politik beliau namun mendakwa ia berdasarkan “mesej karut” yang tular di media sosial.
“Jelas sekali bahawa pihak SPRM sedang bertindak atas arahan pihak atasan kerana pernyataan-pernyataan saya di Parlimen pada hari Selasa, 19 September yang lalu.
“Jelasnya kepada saya bahawa mesej WhatsApp karut yang tular ini sedang digunakan semata-mata untuk menjejaskan reputasi dan imej saya dan untuk menindas bekas pegawai saya yang tidak bersalah,” katanya.
Radzi berpendapat mesej karut yang tular dan berunsur fitnah tidak harus dijadikan asas penyiasatan.
“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya ke atas sesiapa sahaja yang mengulangi atau menerbitkan semula tuduhan-tuduhan jahat yang sama sekali tidak berasas ini.
“Berani kerana benar,” katanya.
Radzi juga menjelaskan tuduhan yang mengaitkan beliau dan isterinya tidak benar sama sekali.
“Isteri saya juga bukan seorang kerabat diraja dan beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan mahupun kepentingan di dalam syarikat yang dinyatakan di dalam mesej yang tular tersebut,” katanya.
Awal hari ini, media yang memetik sumber SPRM melaporkan seorang bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kanan antara dua yang ditahan semalam untuk siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.
Perbuatan rasuah itu dikatakan sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.
Minggu lalu, Radzi diusir keluar dari Dewan Rakyat selepas bertegang urat dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan seterusnya mempertikaikan keputusan speaker Johari Abdul sewaktu sesi penggulungan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12). – 23 September, 2023.
Komen