Tak wajar larang ahli Parlimen pembangkang lawat sekolah, kata Yeoh


Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata menteri pendidikan sepatutnya mengalu-alukan kehadiran wakil rakyat pembangkang ke sekolah bagi membantu meringankan beban KPM dalam memastikan infrastruktur di sekolah dibaiki demi keselesaan para pelajar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2022.

PUTRAJAYA harus membenarkan ahli Parlimen pembangkang memasuki kawasan sekolah untuk lawatan tapak atau menghadiri majlis rasmi, kata Hannah Yeoh.

Dalam kenyataan hari ini, ahli Parlimen Segambut itu melahirkan rasa tidak puas hati selepas dilarang melihat pembinaan infrastruktur sekolah di kawasannya.

“Bagaimana saya boleh memastikan kerja menaik taraf atau pembinaan infrastruktur di sesebuah sekolah disiapkan dengan baik dan mengikut piawaian yang ditetapkan jika saya tidak dibenarkan memasuki sekolah untuk melihat keadaan sedia ada, kerja pembaikan di tapak dan kerja yang telah siap?” soalnya.

Kata Yeoh, larangan ke atas ahli Parlimen pembangkang adalah contoh jelas di mana Kabinet tidak membuat kerja penyelarasan antara agensi mereka.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan tidak membenarkan ahli Parlimen parti pembangkang memasuki sekolah untuk lawatan tapak atau menghadiri majlis rasmi sekolah yang berada di dalam kawasan Parlimen mereka sedangkan mereka mendapat peruntukan dari kerajaan.

“Di Segambut, wakil Barisan Nasional dibenarkan keluar masuk sekolah tetapi saya yang telah menang pilihan raya, dipilih secara sah untuk mewakili penduduk di sana dan meluluskan peruntukan untuk sekolah diminta berdiri di luar pintu pagar sekolah dan tiada sebarang gambar penyerahan cek atau lawatan tapak dibenarkan di dalam kawasan sekolah (kecuali Sekolah Agama yang ditubuh dan ditadbir urus oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri),” jelasnya.

Tambah Yeoh, dengan termeterainya perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan, undang-undang lapuk ini sepatutnya dihapuskan.

“Ianya tidak masuk akal, tidak adil malah menyebabkan warga pendidik di sekolah berada dalam keadaan tersepit dan ketakutan.

“Saya sedih melihat para guru besar dan pengetua sekolah ketakutan apabila saya tiba di pagar sekolah melihat kerja pembaikan yang telah siap. 

“Ini langsung tidak mencerminkan semangat tenaga pengajar yang sepatutnya dibenarkan untuk membuat apa yang betul,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menggesa Menteri Pendidikan Radzi Jidin segera mengeluarkan arahan membenarkan wakil rakyat pembangkang masuk ke kawasan sekolah untuk lawatan tapak atau menghadiri majlis rasmi selaras dengan penggunaan peruntukan ahli Parlimen.

“Menteri pendidikan sepatutnya mengalu-alukan kehadiran ahli Parlimen pembangkang ke sekolah kerana kami membantu meringankan beban kementerian dalam memastikan infrastruktur di sekolah dibaiki demi keselesaan para pelajar.”

Semasa kerajaan di bawah pemerintahan BN, ahli Parlimen pembangkang tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, menteri pendidikan ketika itu Maszlee Malik berkata ahli Parlimen pembangkang tidak dihalang untuk melawat sekolah tetapi perlu menulis surat permohonan untuk mendapatkan kelulusan dan mematuhi peraturan seperti tidak berkempen dan membawa bendera parti.  – 16 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen