Kerajaan beri fokus bangunkan sektor kenderaan elektrik


Putrajaya akan menyemak dasar berkaitan EV setiap beberapa bulan untuk menyokong pertumbuhan subsektor ini. – Gambar EPA, 18 September, 2023.

KERAJAAN akan memberi fokus untuk membangunkan sektor kenderaan elektrik (EV) yang merupakan subsektor berimpak tinggi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). 

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata dasar-dasar berkaitan EV akan disemak setiap beberapa bulan untuk menyokong pertumbuhan subsektor ini. 

“Sektor EV ini adalah sektor baharu. Kita akan ada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) dalam masa terdekat,” tambahnya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai pemilikan EV yang di luar kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia serta usaha mempromosikan penggunaan EV. 

Terdahulu, Liew berkata NIMP 2030 disasar untuk memberi impak yang tinggi kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya bagi sektor pembuatan. 

Tambahnya, melalui NIMP 2030, nilai tambah sektor pembuatan dijangka meningkat kepada RM587.5 bilion pada tahun 2030, berdasarkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.5% termasuk sumbangan subsektor berimpak tinggi daripada elektrik dan elektronik, kimia dan EV. 

Selain itu, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) EV akan bermula pada awal 2024. 

Menurutnya, pembangunan bakat teknologi EV menjadi satu fokus kerajaan, dengan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan diminta memberi perhatian pada ketersediaan pusat pengajian tinggi dalam melahirkan bakat EV. 

“Susulan itu, Universiti Teknologi Malaysia dilantik sebagai ahli Pasukan Petugas EV Kebangsaan (NEVTF) bagi menyelaras kepakaran penyelidikan dan pembangunan bakat berkaitan teknologi EV dalam kalangan universiti tempatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat hari ini. 

Dalam pada itu, Liew berkata Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan berkaitan EV untuk kegunaan bidang TVET. – Bernama, 18 September 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen