TENGKU Zafrul Abdul Aziz yang dilantik menteri perdagangan antarabangsa dan industri tidak hadir ke mesyuarat pertama jemaah menteri di Putrajaya, hari ini.
Sumber di Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Zafrul tidak hadir dan berada di luar negara, namun enggan memberi butiran lanjut.
Sementara itu, New Straits Times yang memetik sumber melaporkan Tengku Zafrul bukan ke Qatar untuk menonton bolasepak Piala Dunia 2022.
“Beliau bukan di Qatar seperti didakwa. Beliau bukan pergi tengok Piala Dunia. Beliau ke Abu Dhabi untuk misi perdagangan,” kata sumber seperti dipetik portal berita itu.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dijangka mengumumkan misi perdagangan itu secara rasmi esok.
Tengku Zafrul ke pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada petang itu juga untuk majlis simbolik mengimbas kad perakam kehadiran hari pertama sebagai menteri pada 6.07 petang Sabtu.
Majlis diadakan hanya beberapa jam selepas beliau dan barisan jemaah menteri lain mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Tengku Zafrul dilantik senator selepas dinamakan sebagai menteri dalam pentadbiran Anwar Ibrahim.
Beliau sebelum ini menteri kewangan dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin dan dikekalkan oleh Ismail Sabri Yaakob.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Tengku Zafrul yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor sebagai calon Barisan Nasional kalah kepada penyandang Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH).
Dr Dzulkefly sebelum itu mengumumkan tidak bertanding lagi dalam pilihan raya tetapi membatalkan hasratnya semata-mata untuk menentang Tengku Zafrul.
Dr Dzulkefly tidak dilantik sebagai menteri.
Semasa kempen PRU15, Anwar pernah berkata tidak sedia untuk melantik Tengku Zafrul sebagai menteri sekiranya PH membentuk kerajaan. – 5 Disember, 2022.
Komen