Orang Melayu takkan pernah lupakan Umno


Mohd Azizi Jaeh

Umno hanya hilang kekuasaan selepas 61 tahun dan kini kembali semula menerajui pemerintahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2023.

TRAGEDI yang menimpa Umno kini dianggap detik yang belum pernah terjadi dalam sejarah penubuhannya.

Begitulah pusingan sejarah yang telah berlaku. Cerita jatuh mundurnya sebuah parti tua yang akhirnya susah dielak.

Apakah Umno sudah memasuki alam menopausnya? Beberapa tahun kebelakangan Umno makin tumpul taring dan kehilangan sentuhannya – ditambah pula tapak sokongan Melayu kian terhakis.

Barangkali Umno sudah ditelan usia, ibarat hayat makhluk yang sifat semula jadinya sentiasa meragam, beransur lemah dan sakit.

Namun, sejarah kegemilangan Umno berbanding parti lain memberi kelebihannya untuk bertahan.

Pegangan nilai dan budaya mengenang jasa yang dekat di hati orang Melayu dianggap menyukarkan mereka melupakan budi parti itu.

Sedikit sekali parti politik di dunia ini dapat menandingi sejarah Umno dari segi jangka hayat memerintah.

Dalam tempoh 66 tahun kemerdekaan, Umno hanya menjadi pembangkang tidak kurang dua tahun atau 22 bulan.  

Bukan calang-calang pencapaian parti yang boleh dikira mencapai status ‘empayar politik Melayu moden.’

Bahkan tahap penglibatan Umno dalam sektor perniagaan secara meluas, menurut sarjana ekonomi politik Edmund Terence Gomez, merupakan cara parti tersebut menjalankan pemusatan kuasa dan mengawal  sumber negara.

Umno memang diakui berjasa kepada pembangunan ekonomi orang Melayu khususnya melahirkan kelas Bumiputera Melayu. Ini kerana kedudukan kewangan dan faktor polisi mereka mentadbir.

Malah bukan perkara pelik, Umno hampir menyamai status sebagai parti paling lama memerintah dengan beberapa parti di negara lain – misalnya Parti Revolusi Institusi di Mexico yang berkuasa selama 71 tahun dan Parti Colorado di Paraguay selama 61 tahun.

Umno hanya hilang kekuasaan selepas 61 tahun dan kini kembali semula menerajui pemerintahan.

Selepas kuasa dominan bukan lagi di tangan Umno, semua parti di Malaysia harus terbuka dengan keadaan yang tidak mengizinkan mereka bersendirian untuk memerintah.

Dalam keadaan sedemikian, Umno merupakan penentu atau kingmaker. Tanpa Umno, Pakatan Harapan tidak boleh membentuk kerajaan, begitu juga sekiranya Perikatan Nasional ingin berkuasa.

Inilah realitinya. Suka atau tidak keadaan politik pasca kekalahan Umno tampak luar biasa berbanding sebelum PRU14.

Dalam banyak situasi Umno diperlukan, jauh sekali untuk diketepikan.

Bagaimana untuk mengatakan Umno sudah tidak relevan! Sedangkan Umno bebas menentukan pilihan dan mengubah haluan politik Malaysia pada bila-bila masa.

Barangkali ungkapan Umno itu parti keramat membuatkan mereka sentiasa bernasib baik dan berada pada masa yang tepat (at the right time).

Justeru, Umno masih belum lumpuh, tetapi masih boleh berdiri meskipun dalam keadaan terumbang-ambing dan terus diperlekeh pihak lawan.

Ketika Umno sedang mengalami penyusutan pengaruh, ia masih cuba dirisik dan dipujuk oleh parti lawan mereka (PN) untuk menubuhkan kerajaan bersama.

Setidak-tidaknya Umno tetap menjadi rebutan kepada gerombolan yang bersedia untuk merampasnya.

Atas sebab itulah ramai pemerhati mengeluarkan pandangan bahawa situasi politik negara tidak boleh diteka dengan tepat, bahkan fenomena yang sedang terjadi pada Umno adakalanya membingungkan dan lebih kerap menguji daya intelektual.

Umno itu parti bersejarah. Tidak mudah orang Melayu meluputkan ingatan terhadap Umno kerana mereka lama hidup bersamanya.

Apa pun berlaku, memori lampau kejayaan Umno tetap diabadikan dan sudah tentu ia mempunyai nilai sentimental pada kotak pemikiran Melayu.

Maka, di sinilah letaknya keperkasaan Umno dari segi sumbangan besarnya terhadap sebuah projek negara bangsa.

Apabila memikirkan tentang sejarah kegemilangan Umno, kita bukan hanya memahami peristiwa lampau, tetapi meletakkan grand history dalam beberapa dekad dulu yang telah mencetuskan implikasi kepada corak politik yang terjadi masa kini.

Misalnya percubaan Onn Jaafar untuk menjadikan Umno parti berbilang kaum telah ditolak anggotanya.

Walaupun orang Melayu rasa terhutang budi terhadap pendiriannya melawan Malayan Union, mereka tidak bersedia untuk mengorbankan kepentingan kolektif mereka demi cita-cita pemimpin.

Umno dipandang sebagai institusi tinggi yang akan mengatasi mana-mana tokoh.

Apatah lagi, Umno dianggap telah mencetuskan kesedaran dan sebuah peringatan terhadap aspirasi bangsanya sejak dulu.

Mereka lebih selesa untuk kekal dengan kehidupan parti berasaskan Melayu secara khusus.

Secara tak langsung, Umno membentuk keperibadian, rupa bentuk dan struktur kukuh Malaysia yang ada sekarang - parti yang berasaskan kaum.

Lagi pula Umno masih kekal dalam ingatan kalbu kerana pengalaman luasnya dalam menangani krisis yang meruncing.

Buktinya, projek mengukuhkan perpaduan selepas peristiwa 13 Mei merupakan satu lagi jasa Umno yang takkan pernah dilupakan.

Hampir semua pemimpin kaum dihimpunkan dalam satu blok parti yang dikepalai Umno tanpa menjejaskan sifat perkauman parti bukan Melayu.

Sejarah pembentukan Barisan Nasional (BN) yang diasaskan Tun Abdul Razak pada Jun 1974 merupakan sebuah projek ‘kebangsaan Malaysia’ yang dibenarkan bebas untuk mengekalkan identiti masing-masing.

Ternyata formula BN meletakkan Umno sebagai ketua menjadikan parti itu disegani kawan dan lawan. Bukan suatu yang aneh kesinambungan formula itu cuba ditiru oleh PN hari ini!

Sudah pasti generasi yang hidup di zaman kegemilangan Umno tidak hanya mahu parti itu dikenang sebagai jaguh dalam pilihan raya semata-mata, tetapi lebih besar Umno patut disayangi kerana kemampuannya menjadi kuasa pendamai bagi semua kaum hidup di negara ini.

Paling penting kehidupan yang sentiasa aman dan harmoni dalam kalangan orang Melayu boleh mengetepikan sebarang perasaan benci dan marah atau setidak-tidaknya perlindungan yang diberikan Umno selama ini menyebabkan rasa benci dan tidak suka itu boleh ditangguhkan atau tidak diluahkan.

Namun, selepas beberapa dekad orang Melayu beransur dan berpisah meninggalkan Umno.

Ia mewujudkan perasaan panik, kegemparan dan ketidakstabilan politik sekali gus menimbulkan tanda tanya, adakah kemerosotan Umno sekarang dan gabungannya dalam kerajaan perpaduan hari ini mampu mengembalikan orde kestabilan yang pernah dicetuskan Umno berdekad lamanya.

Umno akan sentiasa meniti di bibir, membekas di sanubari orang Melayu kerana kisah dan legasinya yang sukar ditandingi. – 18 September, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen