Lupakan UPSR, perkasakan PBS


BARU-BARU ini terdapat cadangan agar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kembali dilaksanakan. Ini adalah satu langkah ke belakang.

Penilaian peringkat rendah tidak wajar dijadikan peperiksaan yang penting sehingga mengorbankan nilai pendidikan itu sendiri.

UPSR digubal bagi memenuhi keperluan pentaksiran kemahiran 3M iaitu membaca, mengira dan menulis.

Walaupun penegasan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) adalah kepada kemahiran 3M, penilaian pencapaian ini seharusnya dilaksanakan setiap minggu atau setiap bulan, bukan sekadar setiap tahun, apatah lagi bukannya setiap enam tahun seperti UPSR.

Keputusan pencapaian UPSR pula bersifat artifisial dan bukan metrik yang betul untuk mengukur dan menambah baik keseluruhan ekosistem pendidikan.

Ini kerana, jika ia dinobatkan sebagai high stake examination, ibu bapa akan mencari bantuan luar untuk meningkatkan prestasi anak-anak seperti menghantar ke kelas tuisyen, program latih tubi, seminar menjawab soalan dan seumpamanya.

Malangnya, hanya ibu bapa yang mampu sahaja boleh berbuat demikian.

Anak-anak yang lain yang tidak mampu akan terus hanyut kerana metrik yang digunakan tidak mengukur pencapaian atau prestasi sebenar sistem pendidikan kita.

Sekolah memperagakan keputusan bilangan A padahal keputusan tersebut bukan hasil sistem persekolahan kita sepenuhnya.

Pentaksiran yang dilakukan di peringkat rendah sepatutnya bukan sekadar untuk mengenal pasti pencapaian akademik anak-anak.

Sepatutnya ia juga bersifat pentaksiran proses pembelajaran (assessment of the learning process) dan pentaksiran untuk meningkatkan pembelajaran (assessment for learning).

Ketiga-tiga bentuk pentaksiran ini hanya boleh dibuat dengan sempurna melalui pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Melalui PBS, sekolah boleh mengenal pasti kelemahan dan masalah pembelajaran yang dihadapi setiap kanak-kanak dan memperbaikinya.

Program pemulihan boleh dilaksanakan. Selain itu, sekolah dapat menilai titik-tik kelemahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan memperbaikinya.

Dengan itu, pentaksiran kini berubah daripada exam oriented (berorientasikan peperiksaan) kepada development oriented (berorientasikan pembangunan).

PBS merupakan satu pentaksiran bestari iaitu satu bentuk pentaksiran yang luwes dan berfokus individu.

Penilaian sumatif akademik seperti UPSR tidak mampu menilai pelajar secara adil berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menegaskan bahawa pendidikan di Malaysia berperanan mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.

Menariknya, penekanan FPK terhadap pengembangan sahsiah dan potensi menyeluruh murid hampir serupa dengan dokumen Unesco “Learning to become with the world:
Education for future survival”
pada 2020.

Menurutnya, matlamat pendidikan yang utama ialah kemenjadian (Learning To Become).

Aspek utama pendidikan seharusnya development oriented (berorientasikan pembangunan) bentuknya termasuk sistem pentaksiran.

PBS membolehkan kepelbagaian potensi, bakat dan kemampuan murid diraikan, misalnya murid yang mempunyai daya kreatif tinggi dapat diasah untuk menyertai pertandingan inovasi, manakala murid mahir berkarya dapat diketengahkan untuk pertandingan kesenian.

PBS dapat menyediakan murid untuk masa hadapan yang terarah melalui penilaian lebih holistik dan tidak terikat dengan skema jawapan kerana murid menjadi lebih kreatif, inovatif
dan memahami keupayaan diri.

Tidak dinafikan di sana terdapat banyak cabaran dalam pelaksanaan PBS.

Namun, sekiranya terdapat masalah dalam pelaksanaan PBS, kita perlu mencari punca dan berusaha untuk menyelesaikannya.

Antara cabarannya adalah untuk mereka bentuk dan melaksanakan tindakan yang akan membolehkan guru merealisasikan pentaksiran untuk pembelajaran.

Ini melibatkan murid menjadi aktif dalam pembelajaran mereka sendiri. Hakikatnya, pentaksiran perlu dihidupkan dan pembelajaran perlu diaktifkan.

Sehingga kini, pelbagai program telah dilakukan untuk ‘menormakan’ atau menjadikan semua pihak saling menerima PBS walaupun terdapat perbezaan pandangan.

Usaha perlu diteruskan supaya PBS mencapai tujuan yang dihasratkan. – 15 September, 2023.

* Profesor Dr Omar Yaakob, pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen