Peperiksaan UPSR, PT3 tidak akan dikembalikan, kata menteri pendidikan


TIDAK ada rancangan untuk mengembalikan peperiksaan UPSR dan PT3 kerana Kementerian Pendidikan telah beralih kepada pentaksiran berasaskan sekolah, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata kementeriannya tegas dalam keputusan untuk memansuhkan UPSR dan PT3 yang diambil oleh murid Darjah Enam dan pelajar Tingkatan Tiga sebelum ini.

Beliau juga berkata pentaksiran berasaskan sekolah gantian adalah pendekatan terbaik untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan untuk pelajar sambil mengembangkan potensi mereka secara holistik.

“Justeru kementerian pendidikan tidak bercadang untuk mengembalikan sistem berasaskan peperiksaan pada masa ini. Sebarang keputusan untuk melaksanakan semula peperiksaan bergantung kepada keputusan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang akan berakhir pada 2025,” katanya dalam jawapan bertulis parlimen.

Terdahulu Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) bertanya sama ada kementerian bercadang untuk menghidupkan semula sistem berasaskan peperiksaan.

Fadhlina berkata pentaksiran berasaskan sekolah melibatkan pentaksiran berasaskan bilik darjah, sukan dan kokurikulum serta psikometrik sambil menambah ia turut menekankan pembentukan akhlak, adab dan integriti yang baik.

Sebelum ini terdapat gesaan termasuk daripada ahli Parlimen untuk pengenalan semula UPSR.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkata ramai ibu bapa merungut tentang kekurangan motivasi anak mereka untuk belajar.

Pada April 2021 kementerian pendidikan mengumumkan pemansuhan UPSR dan pembatalan peperiksaan PT3 bagi tahun tersebut. Yang terakhir dimansuhkan pada Jun 2022. – 16 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen