Kebersamaan, sikap sayang menyayang pastikan rakyat hidup harmoni 


BERPINDAH ke tempat baharu, melangkah keluar dari negeri kelahiran sudah pasti memberi cabaran kepada sesiapa sahaja untuk menyesuaikan diri apatah lagi jika terdapat perbezaan budaya dan bahasa.

Namun, atas semangat kebersamaan, saling sayang menyayangi dan perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat Malaysia, semua ‘mimpi  ngeri’ berada di negeri lain dapat diatasi, malah melahirkan rasa cinta kepada tempat baharu berkenaan. 

Berkongsi pengalaman kepada Bernama, Nur Alishar Mohamad Ali, 23, dari Sibu, Sarawak, berkata tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada 2022 memberi sedikit kegusaran pada awalnya kerana dia tidak pernah meninggalkan Bumi Kenyalang sejak kecil. 

Bagaimanapun, perasaan takut dan pelbagai lagi kebimbangan ternyata meleset sama sekali apabila rakan-rakan di Semenanjung mesra, bahkan ada juga yang teruja kerana mempunyai kawan baharu dari negeri yang jauh. 

“Penerimaan rakan-rakan di Semenanjung semuanya baik-baik belaka, sangat mesra, macam teruja jumpa orang Sarawak, mereka macam seronok orang jauh dan menariknya kebanyakan mereka dapat tahu kalau seseorang itu dari Sarawak atau Sabah disebabkan ‘slang’ bahasa,” katanya yang juga Presiden Kelab Patriot Chapter Sarawak UUM.

Menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, Nur Alishar berpendapat Semenanjung, Sabah, dan Sarawak sepatutnya hanya melambangkan kawasan di atas peta dan tidak patut digunakan untuk membezakan layanan terhadap mana-mana individu.

“Zaman telah berubah, mentaliti juga perlu berubah sebab kita semua serumpun, jadi seharusnya bergerak seiring tanpa ada perbezaan. Malaysia yang sebenar adalah rakyatnya sentiasa hormat menghormati satu sama lain tanpa mencari perbezaan tetapi meraikannya,” kata Nur Alishar. 

Bagi anak kelahiran Tawau, Sabah Sharman Herry, 24, yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang berpendapat Semenanjung, Sabah dan Sarawak memiliki keistimewaannya sendiri dan tidak sepatutnya wujud sebarang jurang.

“Kita boleh hidup bersama jika tiada masyarakat yang bermentaliti seperti ‘saya dahulu baru mereka’. Rakyat Malaysia bagai setandan pisang, bukan semua baik dan bukan semua busuk.

“Bagi saya kita perlu cintai negara ini sebab walau ada kekurangan, masih banyak kebaikan untuk semua rakyat, saya mengaku saya warga Malaysia yang hidup harmoni sesama kaum dan mentaliti terjaga dari pengaruh luar,” katanya etnik Sulu itu yang datang ke Semenanjung sejak 2019.

Sementara itu, Puteri Anum Megat Ahmad, 44, yang berpindah ke Papar, Sabah pada 2017 kerana mengikut suami mengakui pada peringkat awal beliau menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri, namun ia diatasi apabila bertemu dengan ibu angkatnya Ruhaida Mussin,61 dan keluarga. 

Anak jati Pahang itu berkata beliau yang berpindah atas tuntutan kerja suami, berasa keseorangan kerana suasana asing bagi dirinya tetapi kemesraan yang diterima daripada keluarga angkat di Papar membantunya menyesuaikan diri. 

“Sepanjang dua tahun banyak juga dugaan, macam-macam saya hadapi tapi kalau tiada keluarga angkat mungkin teruk juga bersedih dan paling saya tak lupa adalah sewaktu anak saya sakit dan perlu menjalani pembedahan dia datang menemani, rasa seolah-olah macam keluarga saya ada di sini.  

“Kalau orang tanya benda paling Istimewa mengenai Sabah, bagi saya keluarga angkat kerana tidak meyangkan kita pergi tempat orang kemudian mereka menerima kita seperti keluarga sendiri,” katanya yang sudah kembali ke Semenanjung pada 2019.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, sambutan Hari Malaysia 2023 akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak pada 16 September. – Bernama, 9 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen