Hak asasi LGBT merosot bawah pentadbiran Anwar, kata NGO


Diyana Ibrahim

NGO Justice for Sisters berkata tiada sebarang perkembangan atau usaha yang positif dilakukan kerajaan dalam isu berkaitan hak asasi golongan LGBT. – Gambar EPA, 8 September, 2023.

HAK asasi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) semakin terancam sejak lima tahun lalu dan terus merosot bawah pentadbiran kerajaan baharu, kata kumpulan itu.

Pengasas Justice for Sisters, Thilaga Sulathireh tidak melihat sebarang perkembangan atau usaha yang positif dilakukan kerajaan dalam isu berkaitan hak asasi golongan itu.

Sebaliknya, komuniti itu berdepan dengan lebih banyak ancaman dan diskriminasi bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dikenali sebagai pemimpin progresif, katanya.

Thilaga mengesyaki Anwar bersikap demikian kerana Pakatan Harapan (PH) sering dilabel pro-LGBT, menyebabkan perdana menteri enggan dikaitkan dengan kumpulan ini.

“Dalam konteks Malaysia disebabkan sebelum ini PH selalu dilabel sebagai kerajaan pro-LQBT disebabkan itu kita lihat Anwar lebih berhati-hati.

“Daripada cuba untuk mendekatkan dengan golongan ini Anwar memutuskan untuk menjarakkan atau tidak mahu dikaitkan dengan kumpulan LGBT ini.

“Ia jelas daripada ucapan pendiriannya mengenai kumpulan ini dan tindakannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau merujuk kepada kenyataan Anwar pada awal tahun yang memberi jaminan bahawa golongan LGBT tidak mungkin diiktiraf dalam kerajaan perpaduan.

Dalam wawancara Naratif Khas disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan mengiktiraf konsep negara sekular dan ideologi komunis.

Turut menjadi perhatian operasi kerajaan pada Mei lalu yang merampas jam tangan jenama Swatch koleksi Pride yang mempromosi hak LGBTQ seluruh dunia.

Serbuan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 itu dibuat bagi kesalahan menerbitkan bahan dianggap mengganggu ketenteraman awam, moral, keselamatan dan kepentingan awam atau negara.

Mei lalu KDN merampas jam tangan jenama Swatch koleksi Pride yang mempromosi hak LGBTQ seluruh dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2023..

Beberapa program bertujuan meningkatkan pemahaman hak LGBT turut dibatalkan sejak beberapa tahun lalu, selain tindakan menapis kandungan muzik dan filem berkaitkan warga berkenaan.

Laporan Hak Trans Global tiga bulan lepas meletakkan Malaysia  sebagai negara kedua terburuk di dunia kerana menolak dan tidak menyokong hak transgender secara terang-terangan.

Badan itu memberi markah “-105” kepada Malaysia dengan penarafan ‘F’ melalui laporan yang dikeluarkan oleh penyelidik Asher dan Lyric Fergusson.

Penarafan itu menilai perlindungan negara terbabit mengenai hak-hak sedia ada untuk golongan LGBT seperti halangan dihadapi golongan transeksual sehingga menjadi sasaran polis.

Halangan itu termasuk hak bekerja, perlindungan undang-undang, keganasan, diskriminasi dan kadar kematian transgender.

Mengulas lanjut, Thilaga menyuarakan kebimbangan hak LGBT yang semakin teracam kerana pelaksanaan lapan undang-undang di bawah enakmen Syariah.

“Dalam tempoh lima tahun lepas kita tengok banyak undang-undang menjenayahkan golongan LGBT diperkenalkan.

“Lapan undang-undang di peringkat negeri ini sama ada undang-undang baharu yang diperkenalkan atau pindaan daripada undang-undang sedia,” katanya.

Kanun Keseksaan yang terpakai di seluruh Malaysia menghukum hubungan seks oral dan liwat sehingga 20 tahun penjara dan sebatan mandatori.

Setiap negeri, termasuklah wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya, juga menguatkuasakan undang-undang syariah yang menjenayahkan hubungan seks sesama gender.

Ia turut meliputi isu ekspresi dan identiti gender di bawah undang-undang yang melarang “lelaki berlagak seperti wanita” dan “perempuan berlagak seperti lelaki”.

Thilaga berkata tindakan diskriminasi dan menggunakan undang-undang untuk mendakwa golongan itu memberikan kesan yang besar.

Kajian Justice for Sisters pada 2021 mendapati 38.6% daripada 220 responden mempunyai perancangan atau memikirkan untuk berhijrah ke luar negara atau mencari perlindungan suaka.

“Kebanyakan mereka memikirkan untuk berhijrah atau mencari perlindungan suaka sebab mereka tidak nampak peluang dan ruang untuk hidup yang lebih baik di Malaysia.

“Mereka berasa tidak boleh menjadi diri sendiri. Bila mereka  jadi diri sendiri orang fikir mereka cuba nak mempromosikan LGBT sedangkan hanya ingin jadi diri sendiri.

Thilaga berkata golongan ini merasakan sentimen kebencian terhadap mereka semakin kuat di Malaysia.

Seramai 55.9% responden mengakui mereka semakin tertekan dan kesihatan mental mereka terjejas akibat daripada diskriminasi berterusan, ujarnya.

Daripada kaji selidik itu mendapati 12.7% berdepan diskriminasi dan tindakan keganasan kerana kenyataan anti LGBT dari pemimpin politik.

Seramai 17.3% pula berdepan dengan situasi sama kerana ucapan kebencian dalam media sosial dan 47.7% mengakui mereka terpaksa mengubah penampilan atau perwatakan LGBT mereka di rumah.

“Kalau mereka rasa tak selamat dan tertekan sangat mereka akan lebih cenderung untuk mengubah ekspresi gender atau ubah penampilan supaya tak diancam,” katanya.

Tambahnya, terapi pemulihan LGBT pula tidak memberi sebarang kebaikan sebaliknya memberi kesan negatif berpanjangan, bukan sahaja kepada komuniti itu bahkan kepada ahli keluarga sendiri.

“Tidak ada mana-mana fakta yang membuktikan program itu berkesan. Sebaliknya bagi kita ia beri kesan negatif dan berpanjangan.

Ia memberikan mesej kepada orang ramai bahawa warga LGBT boleh dan harus mengubah orientasi seksual, identiti gender, serta ekspresi gender mereka, katanya.

Tambah beliau, mesej sebegini memudaratkan warga LGBT apabila mereka berdepan dengan banyak tekanan termasuk daripada ahli keluarga sendiri.

Beliau merujuk usaha kerajaan melalui pelaksanaan program mukhayyam untuk “memulihkan” atau mengubah orientasi seksual dan gender warga LGBT.

Setakat Jun 2021, kerajaan melaporkan seramai 1,733 warga LGBT telah menghadiri program tersebut.

Katanya lagi, kerajaan sebenarnya perlu mengetahui bahawa ia bukan sekadar melibatkan usaha memahami dan mendekati golongan itu sahaja.

Tapi ada isu besar lebih menghimpit golongan LGBT yang kebanyakan berdepan dengan kemiskinan, peluang pekerjaan tidak sama rata dan hak untuk tidak diskriminasi.

“Golongan LGBT ini paling banyak marginalisasi. Ramai duduk dalam kemiskinan, diskriminasi di tempat kerja dan berdepan isu kesihatan. Ia isu penting yang harus kita tambah baik.

“Namun setakat ini tak ada usaha ke arah itu,” katanya. – 8 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen