Aktivis gesa rujuk pemegang taruh berkenaan pindaan akta Orang Asli


Noel Achariam

Pindaan terhadap Akta Orang Asli perlu dilakukan dengan penekanan diberikan kepada hak tanah adat, pendidikan, kesihatan, dokumen dan kepimpinan masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2023.

KERAJAAN perlu memastikan kajian mencukupi dilakukan sebelum membuat pindaan kepada Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) dengan penekanan diberikan kepada hak tanah adat, pendidikan dan kebajikan, kata aktivis Orang Asli.

Mereka turut mempersoalkan adakah pemegang taruh, pemimpin masyarakat Orang Asli dan mereka yang terbabit dalam hal ehwal suku mereka, dirujuk berkenaan pindaan itu.

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli Colin Nicholas bertanya apakah perubahan sebenar yang akan dijalankan untuk membantu Orang Asli.

“Pindaan ini patut sudah lama dilakukan. Kita mahu melihat apa perubahan sebenar yang aka nada dalam pindaan akta itu dan pengiktirafan terhadap Orang Asli dan hak mereka kepada tanah adat.

“Semuanya masih sama sejak pentadbiran lalu dan kerajaan sekarang. Tidak ada pembaharuan setakat ini dilakukan kerajaan perpaduan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 23 Februari, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Akta 134 akan dipinda dengan meningkatkan aspek undang-undang berkenaan pemilikan tanah, pendaftaran perkahwinan dan kelahiran kanak-kanak Orang Asli.

Menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu berkata pindaan berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

“Perbincangan dan bengkel diadakan dengan tujuan mengumpul maklumat dan cadangan daripada semua pemegang taruh, termasuk ketua kampung untuk menambah baik akta ini,” katanya.

Nicholas berkata pindaan itu sudah lama tertangguh kerana akta itu diwartakan pada 1954.

“Tidak banyak pindaan dibuat sepanjang tempoh itu. Kita masih melihat kepada undang-undang tradisional.

“Jadi sekarang persoalannya adalah berkenaan hak tanah adat, pendidikan, kebajikan dan infrastruktur seperti jalan yang lebih baik dan bekalan elektrik.”

Beliau berkata ada keperluan untuk fokus kepada dua perkara berkenaan untuk dimasukkan dalam akta.

“Pertama adalah pengiktirafan terhadap tanah Orang Asli dan pemilikan tanah adat mereka. Ini isu terbesar yang merisaukan Orang Asli dan ia perlu ditangani,” katanya.

“Ada beberapa kes hak tanah di mahkamah di Perak, Johor, Pahang, Kelantan dan kawasan lain. Masalah tanah ini berlaku sejak 1990.

“Kedua ialah berkenaan aspek sosial seperti pendidikan, kesihatan, dokumen dan kepimpinan masyarakat.”

Berkenaan Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa), Nicholas berkata tidak ada beza walau di bawah kerajaan mana pun.

“Jakoa diberikan beberapa tugas, tetapi tidak ada kapasiti untuk memenuhi keperluan Orang Asli seperti infrastruktur asas dan bekalan elektrik.

“Satu lagi isu adalah hak tanah adat, yang tidak diukur. Maka, Orang Asli tidak dapat memohon ia diwartakan sebagai tanah rizab, kerana Jakoa tidak mempunyai kakitangan atau juruukur untuk melakukan proses itu.” – 7 September, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen